Berita

FRP 2022 bantu pemulihan ekonomi Putrajaya

NIK Shukri (kanan) melihat lokasi Festival Ramadan Putrajaya 2022 yang bakal diadakan tiga hari awal iaitu bermula 31 Mac ini.
- Diterbit 15 Mac 2022 5:53 AM MYT

PENGANJURAN Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2022 kembali diadakan setelah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa Malaysia bakal memasuk fasa endemik bermula 1 April ini.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj), Nik Shukri Nik Soh berkata program tahunan ini kembali diadakan setelah dua tahun ia tidak dianjurkan berikutan pandemik melanda negara.

“Tahun lalu kita hanya menganjurkan bazar Ramadan tetapi pada kali ini sempena perubahan fasa bazar Aidilfitri turut diadakan bagi menjadikan Putrajaya sebagai lokasi alternatif untuk mendapatkan barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri serta mengimarahkan sambutan bulan Ramadan di Putrajaya.

“Di samping itu, penganjuran festival ini adalah untuk menyokong perkembangan dan pemulihan ekonomi Putrajaya supaya dapat berkembang dan pulih,” katanya semasa Sidang Media Festival Ramadan Putrajaya di Kompleks Perbadanan Putrajaya, pagi ini.

Tambahnya FRP 2022 bakal bermula pada 31 Mac sehingga 2 Mei 2022 beroperasi dari 10 pagi hingga 12 tengah malam bertempat di kawasan Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan kawasan bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Nik berkata program kali ini mensasarkan 500 ribu orang pengunjung di mana kaedah kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Bazar Ramadan Putrajaya masih dikekalkan seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Bagi menggalakkan aktiviti perniagaan pada bulan Ramadan ini, PPj telah meluluskan sebanyak 100 tapak bazar bertempat di parkir Park & Ride, Presint 14 yang diuruskan oleh pihak swasta,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Festival Ramadan Putrajaya 2022.

Ujarnya lagi bersempena bulan Ramadan kali ini pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan kemasyarakatan turut dirancang oleh PPj seperti tazkirah, ceramah tadarus Al-Quran serta program-program lain bersama komuniti Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas