Berita

Empat pemilik strata dikenakan tindakan enggan bayar yuran penyelenggaraan

Gambar hiasan.
- Diterbit 15 Mac 2022 5:01 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan terhadap empat pemilik petak yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai tunggakan yuran penyelenggaraan yang tinggi termasuk dikenakan tindakan saman mahkamah dan sita harta alih.

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, pihaknya dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) telah melantik ejen pengurusan iaitu Tetuan Azmi & Co (Bangi) Sdn Bhd di PPR Kampung Baru Air Panas bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan melalui saman di Mahkamah dan sitaan harta alih oleh pihak Mahkamah.

“Keengganan pemilik petak memberi kerjasama untuk menjelaskan caj penyenggaraan menyebabkan kerja-kerja penyenggaraan dan pengurusan tidak dapat dijalankan dengan baik.

“Kekurangan sumber kewangan boleh menjejaskan perancangan dan perlaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan pengurusan seperti pembersihan, pembayaran bil utiliti, pembaikan kerosakan, dan penyenggaraan lif,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kenyataan itu berkata, Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) memperuntukkan kuasa kepada COBKL untuk melantik ejen pengurusan bagi menyenggara dan mengurus suatu kawasan pemajuan berstrata.

“Sehingga kini, sebanyak 30 kawasan pemajuan berstrata di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dilantik sebagai ejen pengurusan oleh pihak COBKL.

“Kesemua 30 kawasan pemajuan ini merupakan kawasan yang tidak diselenggara dan diurus dengan baik oleh badan pengurusan yang dibentuk sebelum ini dan tiada pihak yang berminat menjadi anggota jawatankuasa,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, ejen pengurusan yang dilantik turut berdepan pelbagai cabaran apabila mengambil alih suatu pengurusan.

“Antaranya tiada pejabat pengurusan yang sistematik, dokumen tidak lengkap, tunggakan bil utiliti yang tinggi, tunggakan dengan pihak kontraktor, kerosakan di kawasan harta bersama, akaun tidak pernah disediakan/diaudit dan tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik petak,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata pihak COBKL berharap tindakan penguatkuasaan yang tegas dapat dibuat oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), dan ejen pengurusan lantikan COBKL ke atas pemilik petak yang enggan membayar caj penyenggaraan.

“Pemilik petak juga diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab dengan menjelaskan caj penyenggaraan setiap bulan bagi memastikan JMB/MC/Ejen Pengurusan mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi menjalankan operasi harian penyenggaraan dan pengurusan,” katanya.

Sementara itu, kes-kes tunggakan yang direkodkan oleh empat pemilik tapak ini keseluruhannya berjumlah RM43,772.

“Untuk kes pertama yang melibatkan tunggakan RM8,688, mahkamah telah memerintahkan penghutang membayar ansuran sebanyak RM500 sebulan mulai Januari 2022 dan jika gagal atau ingkar, penghutang akan diperintah untuk dipenjara.

“Untuk kes kedua, pemilik mempunyai tunggakan RM15,142 dan telah membuat bayaran keseluruhan tunggakan sehari sebelum sitaan dijalankan.

“Kes ketiga membabitkan tunggakan berjumlah RM10,679 dimana penghutang telah membuat bayaran kepada pihak peguam sebelum tamat tempoh 14 hari sebanyak RM7,679 dan baki dari jumlah tuntutan itu, penghutang telah memohon bantuan dari pihak berkaitan.

“Kes keempat yang mempunyai tunggakan berjumlah RM9,263, penghutang diberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan semua tunggakan. Inventori barang telah direkod sebagai persediaan proses lelongan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas