Berita

Pandelela, Dhabitah digugurkan daripada Program RTG

KREDIT foto: Reuters.
- Diterbit 29 Februari 2024 8:40 PM MYT

SEPERTI dijangka, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri disingkirkan daripada program Road To Gold (RTG), sebagaimana diumumkan oleh penyelaras program itu Datuk Stuart Ramalingam.

Menurut beliau, Pandelela dan Nur Dhabitah digugurkan susulan kegagalan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.

“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Pandelela dan Nur Dhabitah menerima semua sokongan bagi membolehkan mereka menemui semula rentak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dengan penyingkiran kedua-dua penerjun negara, segala peralatan latihan dibiayai RTG seperti platform latihan gim kering baharu, pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu akan menjadi pelaburan jangka panjang bagi memberi manfaat kepada penerjun kebangsaan selepas ini, katanya.

Bagaimanapun Stuart berkata Pandelela dan Nur Dhabitah akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang juga Pengerusi Bersama RTG dan rakan sejawatnya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan penerjun muda lelaki negara yang juga wakil tunggal terjun di Sukan Olimpik 2024, Bertrand Rhodict Lises menjadi atlet terbaharu dimasukkan ke dalam Program RTG bagi membantunya menjalani persiapan menerusi latihan di luar negara selain diberi perkhidmatan sokongan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu lelaki ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.

Setakat ini, seramai 13 atlet berada di bawah Program RTG termasuk juara beregu lelaki dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata Bertrand akan ditempatkan ke dalam Program Fast Track yang terletak di bawah Program RTG, sejurus Sukan Olimpik 2024 berakhir.

Katanya, Program Fast Track tersebut dibentuk dengan misi mewujudkan atlet muda berbakat yang berumur antara 16 hingga 25 tahun dan berpotensi merangkul emas pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Jefri berkata sukan yang dipilih bagi program itu setakat ini ialah terjun dan skuasy manakala antara kriteria pemilihan ditetapkan ialah atlet perlu memenangi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta menghuni ranking 20 terbaik dunia.

Selain Bertrand, lima lagi atlet disenaraikan termasuk seorang lagi penerjun lelaki negara, Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy kebangsaan iaitu Ng Eain Yow, S.Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman, katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengharapkan agar kesemua atlet yang diserap ke dalam Program Fast Track dapat melonjakkan prestasi mereka menjelang Sukan Olimpik 2028.

Sukan Olimpik 2024 bermula dari 26 Julai-11 Ogos ini manakala Sukan Olimpik 2028 dijadualkan berlangsung pada 14-30 Julai 2028. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas