Selebriti

“Filem JanGo berpeluang tarik penonton antarabangsa “ – Saraleana

Saraleana Nattaya Azmi mahu bydaya Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa.|SARALEANA (lima dari kiri) bersama pelakon
- Diterbit 24 Mei 2022 8:30 AM MYT

JANGO menjadi filem rentas budaya dalam dwibahasa iaitu Melayu dan Cina yang pertama di Malaysia dengan menggabungkan empat pelakon Melayu dan Cina sebagai pemain watak utama.

Menurut pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata idea menghasilkan filem JanGo dicetuskan dua pelakon utamanya, Khir Rahman dan Joey Daud.

“Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie, Khir dan Joey mengetengahkan idea menghasilkan filem JanGo. Pada awalnya saya tak tahu apa maksud JanGo ini sehinggalah mereka memberitahu ia adalah nama kumpulan yang pernah mengangkat mereka sebagai juara dalam sebuah program realiti itu.

“Bertitik tolak daripada situ, datangnya idea menghasilkan filem JanGo.Namun, lebih istimewa kami menggabungkan pelakon berbangsa Cina. Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

“Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian. Jadi kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia,” katanya.

PENGASAS dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi mahu bydaya Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Menurut Saraleana, JanGo juga mengangkat beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia.

Katanya lagi, pihaknya teruja menjalin kerjasama dengan syarikat produksi Hong Kong kerana projek itu menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya mahu pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

“JanGo dianggap suatu peluang untuk menarik penonton antarabangsa. Dengan pendekatan ini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global,” katanya pada majlis pelancaran filem JanGo, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Pengeluaran, Syarikat Times Multimedia Innovation Ltd Hong Kong, Tony Leung.

Ditanya mengenai tahap keyakinannya untuk menerbitkan filem JanGo 2.0 ketika sambutan terhadap filem sulung masih belum pasti, Saraleana percaya karya komedi mampu diterima baik di mana-mana sahaja.

“Genre filem ini adalah komedi dan aksi. Jadi, ia boleh diterima dengan baik di seluruh dunia.

“Sebelum ini, jika kita tengok komedi di Malaysia, ia membabitkan Melayu sahaja. Sama juga dengan filem komedi Cina.

“Namun, menerusi filem JanGo, kami mahu campuran komedi Melayu dan Cina. Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu. Joey dan Khir akan bertutur bahasa Cina untuk menceritakan bagaimana kita hidup dengan dua kaum ini.

“JanGo seperti filem Rush Hour yang menggabungkan pelakon Cina dan kulit hitam. Jadi, kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik,” katanya.

SARALEANA (lima dari kiri) bersama pelakon, pengarah dan pasukan filem JanGo yang kini sudah memulakan penggambaran di sekitar Lembah Klang.

Selain Khir dan Joey, filem JanGo turut menampilkan pelakon Cina yang cukup popular di Singapura, Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Mengulas mengenai gabungan pelakon dua bangsa ini, Saraleana yakin kehebatan empat pelakon utama dapat menembusi pasaran global.

Filem JanGo bakal diarahkan oleh pengarah handalan, CL Hor dan sudah menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas