Selebriti

Fauziah Nawi terima hadiah kereta, rezeki ASA 2022

- Diterbit 3 November 2022 5:18 AM MYT

PRIMADONA Fauziah Nawi, 69, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 (ASA2022) sekali gus membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Mitsubishi Xpander dan wang tunai RM10,000 dalam majlis kemuncak 2022 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 30 Oktober lalu.

Aktres yang hampir lima dekad mengabdikan diri dalam industri seni tanah air yang juga merupakan seorang guru lakonan terkenal itu menyentuh hati seluruh dewan apabila mendedahkan impian beliau untuk memiliki sebuah kereta sendiri dimakbulkan Allah SWT.

“Sebenarnya Allah sangat baik dengan saya. Saya tiada kereta kerana Proton Waja yang digunakan sebelum ini terbakar empat tahun lalu. Saya kata pada diri sendiri takkan mampu beli kereta baharu, mesti tak lepas loan sebab saya dah tua. Akhirnya Allah makbulkan doa saya,” ujar beliau sebak.

Mengulas lanjut tentang kejayaan beliau, Fauziah berkata sepanjang dalam bidang seni, beliau tidak pernah memikirkan soal anugerah atau pengiktirafan kerana keikhlasan lebih utama.

“50 tahun dalam industri, tak pernah saya fikir nak dapat anugerah. Alhamdulillah saya bersyukur dengan anugerah ini. Semua ini untuk anak seni. Kita buat kerana kita nak buat, bukan sebab anugerah atau pengiktirafan,” tambah beliau lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas