Berita

Enam beradik bersatu hati bergilir jaga bapa uzur

KHALID mengusap tangan Madin yang uzur kerana diserang strok ketika menziarahi warga emas itu di Kampung Durian Tunjong di sini pagi tadi.
- Diterbit 7 Februari 2020 8:05 AM MYT

LABUAN – Sudah berbelas tahun, Nayan bersama lima adik-adiknya bergilir-gilir ‘mengasuh’ bapa mereka, Madin Unos, 87, yang kini uzur setelah diserang penyakit strok sekitar tahun 1999.

Nayan dan adik-adiknya iaitu Sulaiman, Safar, Amat, Norhaini dan Raini bukannya tidak mahu menjaga bapanya di rumah masing-masing tetapi bapanya sendiri memilih untuk berada di rumah asalnya kerana berasa lebih selesa.

Tambahan pula, kesemua mereka hanya tinggal bersebelahan antara satu sama lain.

Norhaini berkata, kalau sebelum ini ada kakaknya sekali menjaga bapa mereka tetapi dua bulan lalu dia meninggal dunia. Jadi, kini tinggal mereka berenam sahaja.

”Kami akan pastikan ada orang yang tinggal untuk jaga ayah. Kalau malam, kami akan bergilir-gilir datang dan bermalam di rumah ini,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui di rumah bapa mereka di Kampung Durian Tunjong di sini hari ini.

Hari ini adalah saat yang begitu menggembirakan mereka apabila menerima tetamu istimewa iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang berkunjung menziarahi Madin dalam program Ziarah Kasih.

Warga emas itu kini hanya mampu terbaring di atas katil hospital yang disumbangkan Perbadanan Labuan (PL) dan menggunakan kerusi roda jika ingin bergerak di dalam rumahnya.

Menurut Nayan, inilah kali pertama seorang menteri menziarahi bapa mereka. Kalau sebelum ini mereka menerima kunjungan Ahli Parlimen Labuan dan ketua kampung sahaja.

Dalam program Ziarah Kasih yang diadakan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) itu, Khalid menyampaikan sumbangan wang, hamper dan barangan keperluan kepada warga emas tersebut.

Sementara itu, Khalid turut mengunjungi warga emas yang uzur akibat strok di Kampung Tanjung Aru, Kunal Taha, 87.

KHALID bertanya khabar Kunal ketika mengunjungi warga emas itu dalam program Ziarah Kasih di kediamannya di Kampung Tanjung Aru di sini pagi tadi.

Bekas tukang kebun sekolah itu turut menerima bantuan katil hospital daripada PL.

Menantunya, Ismail Sanif, 50, berkata, memandangkan isterinya, Aini Kunal, 55, merupakan anak tunggal, jadi dia sekeluarga mengambil tanggungjawab menjaga bapa mereka.

“Syukur, keadaan bapa semakin baik, sekarang sudah boleh bertutur dengan elok berbanding dahulu selepas diserang strok,” katanya yang bekerja sendiri.

Bapa tiga orang anak itu berkata, selain memastikan makan minumnya sempurna, dia sekeluarga membantu menghantar bapa mereka menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Labuan.

”Mujurlah semua kemudahan rawatan adalah percuma, lagipun kita ada doktor pakar di sini,” katanya.

Terdahulu rombongan Khalid menziarahi seorang lagi warga emas di Kampung Layang-Layangan, Awang Damit Hassan, 83, yang turut menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussein.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman. – WILAYAHKU

AWANG DAMIT terharu menerima kunjungan Khalid bersama pegawai-pegawai kanan kementerian di rumahnya di Kampung Layang-Layangan di sini pagi tadi.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas