Berita

Masa depan Wilayah Persekutuan

- Diterbit 7 Februari 2020 6:30 AM MYT

Untuk masa depan, perlu juga diungkapkan apakah wawasan Kuala Lumpur untuk menjadi kota kerohanian? Adakah Kuala Lumpur boleh menjadi Baghdad pada zaman Abasiah? Atau itu hanyalah impian kosong dan tidak relevan?

Selepas sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-46 pada 1 Februari lalu, maka wajar untuk mengingati bahawa terdapat tiga sudut pandangan yang boleh dibuat ke atas sesuatu wilayah iaitu masa dulu, kini dan akan datang.

Maknanya, dihargai perkara-perkara lalu, mencari penyelesaian isu-isu hari ini dan meletak harapan serta merancang masa depan.

Kuala Lumpur mempunyai masa lalu yang berkaitan dengan Selangor baik sebelum atau sesudah merdeka, dengan segala warisan berusia lebih 100 tahun sebelum ia menjadi Wilayah Persekutuan pertama.
Pada masa ini, ia mempunyai pelbagai isu yang berkaitan dengan penduduknya dan pelaksanaan projek yang telah dirancang. Sementara itu, untuk masa depan, adalah diharapkan Kuala Lumpur akan bukan saja menjadi mesra kehidupan untuk semua warganya malah indah serta menjadi permata bagi negara.

Perjalanan Putrajaya pula berlainan. Walaupun kawasan yang dikenali sebagai Prang Besar adalah sebahagian daripada Selangor tetapi dari awal penubuhannya, Putrajaya dibina sebagai Wilayah Persekutuan ketiga.

Maka perkara yang lalu adalah perkembangannya daripada apa yang dirancang, pencapaian serta kegagalan sebelum menjadi apa yang ada pada hari ini. Terdapat juga isu-isu yang ada hari ini untuk ditangani dan diselesaikan. Terhadap masa depan pula, Putrajaya juga digambarkan akan menjadi pusat pentadbiran yang lebih baik dan hidup serta membanggakan negara.

Labuan pula mempunyai sejarah yang jauh lebih lama daripada Kuala Lumpur dan Putrajaya. Bermula sebagai perkampungan nelayan dalam Kesultanan Brunei berkembang sebagai pelabuhan strategik British hinggalah menjadi sebahagian daripada Sabah sebelum diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan kedua.

Tentunya bagi masa sekarang terdapat beberapa isu tempatan yang perlukan perhatian. Tetapi masa depan Labuan pula bergantung pada wawasan dan daya usaha kerajaan ntuk menentukan apa peranan dan bentuk Labuan sebagai permata timur negara.

Perkara lalu, kini dan masa depan adalah berkaitan. Paling utama adalah tentunya masa kini kerana ia merupakan isu-isu yang membolehkan seseorang hidup lebih selesa.

Apa yang boleh dilakukan untuk melihat masa lalu, kini dan akan datang adalah dari segi bangunan, ekonomi dan budaya. Melihat bangunan adalah paling mudah. Maksudnya, bangunan yang sudah ada, bangunan yang sedang dibina, dan bangunan yang sedang durancang untuk dibina.

Bagi Kuala Lumpur umpamanya, bangunan masa lalu terbahagi pada tiga era. Bangunan era British, contohnya Bangunan Sultan Abdul Samad. Bagi era merdeka pra-Wilayah Persekutuan termasuklah Masjid Negara. Era ketiga ialah bangunan yang dibina selepas Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan contohnya ialah Menara Berkembar Petronas.

Bangunan yang sedang dibina sekarang adalah seperti Menara Warisan Merdeka yang akan lebih tinggi daripada KLCC. Sementara itu, bangunan yang akan dibina tentunya sudah dirancang dan diajukan untuk kelulusan.

Lebih penting daripada struktur-struktur itu ialah manusia dan keselesaan hidup manusia bergantung pada kegiatan dan hasil ekonomi. Pada masa lalu asas kemakmuran Kuala Lumpur adalah bijih timah. Semua aktiviti ekonomi lain adalah untuk mendokong kegiatan ini. Lombong-lombong bijih timah terletak di Ampang, Pandan, Kepong, Setapak, Cheras dan Petaling.

Dengan kemerdekaan negara, kemakmuran Kuala Lumpur terletak pada kedudukannya sebagai ibu kota politik, ekonomi dan sosial Tanah Melayu. Ia bertambah berkembang dengan menjadi ibu kota Malaysia. Selepas tahun 1970-an bijih timah sudah tidak menjadi aktiviti penting Kuala Lumpur.

Pada masa kini, ekonomi Kuala Lumpur terus utuh. Namun isu utama bukannya pertumbuhan ekonomi kota ini tetapi adalah tekanan terhadap golongan kurang berpendapatan. Kos hidup adalah tinggi dengan belanja bagi kediaman serta pengangkutan juga menyempitkan kehidupan banyak warga kota. Inilah cabaran masa kini kota ini. Perumahan rakyat mesti dibina dengan banyak lagi, dan kos pengangkutan wajar diturunkan.

Bagi masa depan, apakah wawasan Kuala Lumpur dari segi ekonomi? Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai keluasan yang kecil. Untuk berkembang, ia perlu dilihat dalam konsep Lembah Klang yang sebahagian besarnya merupakan sebahagian daripada Selangor. Lembah Klang pernah dipanggil sebagai Greater Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Raya.

Lembah Klang melibatkan dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. Daerah-daerah Selangor yang terlibat ialah Gombak, Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Klang, maknanya majoriti daerah di Selangor.

Tetapi secara pertumbuhannya, ekonomi Kuala Lumpur seperti sejak dari dahulu lagi berkait dengan seluruh negeri Selangor. Malah perkembangannya juga akan menyentuh daerah yang berjiran dengan Selangor seperti Tanjong Malim, Bentong dan Nilai.

Budaya

Sementara itu, dari segi budaya juga terdapat sisi masa lalu, kini dan masa depan. Budaya boleh dilihat dari tiga sudut iaitu keagamaan, kesenian dan keilmuan. Dari awal lagi, Kuala Lumpur mempunyai rumah-rumah ibadat bagi agama-agama utama walaupun kehadiran warganya di situ adalah atas tarikan kewangan.

Kuala Lumpur mempunyai bukan saja masjid Melayu tetapi masjid India dan Pakistan. Tokong juga didirikan yang terletak di Petaling. Begitu juga kuil. Rumah ibadat Sikh pula berada di kawasan Chow Kit. Gereja bukan saja dari kalangan Anglican yang merupakan mazhab kolonial British tetapi juga Katholik dan Methodis.

Terhadap agama Islam, masa lalu terbahagi kepada tiga era, pada zaman British, merdeka dan Wilayah Persekutuan. Pada zaman British didirikan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Pada zaman merdeka didirikan Masjid Negara dan pada zaman Wilayah Persekutuan didirikan Masjid Wilayah Persekutuan.

Pada masa ini, kegiatan keagamaan bukan saja digerakkan oleh masjid tetapi juga institusi-institusi yang pejabatnya terletak di Wilayah Persekutuan seperti IKIM, YADIM dan Jakim.

Untuk masa depan, perlu juga diungkapkan apakah wawasan Kuala Lumpur untuk menjadi kota kerohanian? Adakah Kuala Lumpur boleh menjadi Baghdad pada zaman Abasiah? Atau itu hanyalah impian kosong dan tidak relevan?

Dari segi kesenian, Kuala Lumpur juga mempunyai masa lalu. Pada awalnya tentulah Kuala Lumpur sebagai bandar bijih timah merupakan kota kosong seni. British ada berusaha menubuhkan panggung teater. sementara orang Melayu, Cina dan India masing-masing mempunyai kegiatan seni. Selepas merdeka, Kuala Lumpur mempunyai Panggung Negara.

Selepas ditubuhkan Wilayah Persekutuan, sebuah panggung mercu tanda didirikan iaitu Istana Budaya.

Pada masa ini, Kuala Lumpur mempunyai Balai Seni Negara dan Dewan Filharmonik di KLCC. Tetapi kegiatan seni masih belum semarak kerana warga kota masih tidak berdaya maju seni. Tetapi apakah wawasan seni bagi Kuala Lumpur akan datang?

Mengenai kegiatan ilmu pula, pada zaman British, Kuala Lumpur mempunyai Muzium Selangor dan Perpustakaan Selangor. Selepas merdeka, ia menjadi Muzium Negara.

Selepas menjadi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur memiliki Perpustakaan Kuala Lumpur. Kini, Kuala Lumpur memiliki kedai buku mega Kinokuniya dan tahun ini, ibu negara ini menjadi Ibu Kota Buku Dunia. Tetapi masa depan Kuala Lumpur sebagai kota ilmu dalam zaman digital dan kepintaran rekaan perlu juga difikirkan.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam industri persuratkhabaran, majalah dan buku. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas