Berita

Sukar dapatkan produk biodegradasi, 14 premis terima notis amaran

PENGUAT KUASA Perbadanan Labuan melihat straw plastik yang masih digunakan di salah sebuah premis di sini semasa Operasi Bersepadu Biodegradasi dilakukan semalam.
- Diterbit 7 Februari 2020 8:09 AM MYT

LABUAN – Sebanyak 14 notis amaran tidak patuh produk biodegradasi dikeluarkan di bawah Ordinan Pelesenan Perdagangan Sabah CAP 144, 1946 ketika Operasi Bersepadu Biodegradasi dilaksanakan di sini, semalam.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Strategik, Kementerian Wilayah Persekutuan, Lokman Jamaan berkata, 14 notis amaran tersebut dikeluarkan kerana Labuan mengalami masalah bekalan produk yang ditetapkan kerajaan.

Jelas beliau, antara faktor yang dihadapi peniaga terbabit adalah kos pengangkutan untuk mendapatkan bekalan yang tinggi, pembekal tidak memberi bekalan secara runcit dan pembelian hanya dibuat secara pukal.

Sehubungan itu, katanya, sedikit kelonggaran diberikan kepeda pemegang lesen premis makanan untuk memastikan penggunaan produk biodegradasi dilaksanakan sepenuhnya pada Julai ini.

Mengulas tentang keseluruhan operasi, beliau berkata, 15 premis lagi diberi notis pemberitahuan penguatkuasaan produk biodegradasi dan larangan penggunaan straw plastik serta penjelasan inisiatif biodegradasi.

“Bagi tindakan kompaun pula, tiga premis dikenakan tindakan atas kesalahan tidak mempamerkan lesen perniagaan di dalam premis manakala dua lagi melanggar syarat-syarat pelesenan iaitu menggunakan beg plastik bukan biodegradasi,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Dalam pada itu, Lokman memaklumkan, kesemua tindakan tersebut dilakukan bersama penguat kuasa Perbadanan Labuan, Jabatan Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas