Berita

Empat sub kluster baharu babitkan madrasah dikesan

SUB KLUSTER jangkitan baharu dikesan di madrasah di empat negeri. Gambar hiasan
- Diterbit 12 April 2020 10:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengesan empat sub kluster madrasah di negeri berasingan yang berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat sub kluster iaitu di Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka itu dikesan hasil aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi serta rawatan terutama kepada kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham, sub kluster pertama ialah di madrasah Jerantut, Pahang iaitu jumlah disaring adalah 401 orang yang mana 297 orang adalah pelajar manakala 104 lagi merupakan kakitangan dan ahli keluarga mereka.

“Jumlah kes positif sebanyak 62 kes dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan manakala, jumlah kes sembuh dan dibenarkan keluar daripada wad ialah 20.

“Sub kluster berikutnya ialah madrasah di Penanti, Pulau Pinang iaitu jumlah yang disaring adalah 291 orang melibatkan 56 pelajar dan 35  kakitangan. Jumlah kes positif ialah enam kes serta dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah dan selebihnya telah sembuh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sub kluster berikutnya pula ialah madrasah di Sungai Lui, Selangor yang mana jumlah yang disaring adalah seramai 282 orang iaitu 274 adalah pelajar dan lapan orang merupakan kakitangan.

“Jumlah kes positif seramai 90 kes dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara. Jumlah kes yang telah sembuh dan dibenarkan keluar wad ialah 67 kes.

“Sub kluster terakhir ialah madrasah di Jasin, Melaka iaitu jumlah yang disaring adalah seramai 137 orang yang mana 122 orang adalah pelajar dan 15 pula merupakan kakitangan.

“Jumlah kes positif seramai 37 kes dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka manakala satu kes telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada wad,” katanya.

Jelas Noor Hisham, kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Kita menyeru supaya masyarakat tidak mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas