Berita

Covid-19: Catat 153 kes positif baharu, kematian bertambah jadi 76 kes

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 12 April 2020 11:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 mencatat peningkatan apabila 153 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 4,683 sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, sebanyak 113 kes telah pulih dan dibenarkan keluar dari wad.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah keluar daripada wad adalah sebanyak 2,108 kes iaitu 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Setakat ini, seramai 66 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid- 19 sebanyak 76 kes atau 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes kematian ke-74 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Kes kematian ke-75 juga merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Seterusnya, kes kematian ke-76 pula merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas