Berita

225,871 bantuan bakul makanan diedar

WIRA JKM bersama anggota beberapa agensi menyiarkan pek barangan makanan untuk diedar kepada rakyat yang memerlukan.
- Diterbit 12 April 2020 8:45 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 225,871 bantuan bakul makanan telah diserahkan kepada isi rumah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah bantuan tersebut boleh dimanfaatkan hampir satu juta rakyat negara ini.

“Bantuan bakul makanan ini diberikan kepada yang layak dan proses pengedarannya masih diteruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat

“Malah, 1,000 bakul makanan turut disalurkan kepada 750 keluarga di Sungai Lui, Hulu Langat ,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, talian khas diwujudkan dalam menangani masalah keganasan rumahtangga dan penderaan kanak-kanak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, talian tersebut adalah kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia susulan aduan dan kebimbangan masyarakat berkaitan masalah tersebut.

“Masyarakat yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian kasih iaitu 1599 atau menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada 019 261 5999.

“Talian itu mempunyai ‘link’ dengan PDRM yang akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas