Berita

Ekonomi Laos dijangka berkembang 2.2 peratus pada 2022 – IMF

- Diterbit 17 Oktober 2022 11:30 AM MYT

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Laos dengan kadar 2.2 peratus pada 2022 sebelum berkembang 3.1 peratus pada 2023, lapor Xinhua.

Unjuran pada Oktober kekal tidak berubah dengan 2.2 peratus tetapi angka itu diturunkan daripada 3.2 peratus pada April, menurut laporan terkini di laman sesawang IMF pada Sabtu.

Penurunan unjuran IMF dikaitkan dengan faktor luaran dan dalaman dengan laporan itu meramalkan pertumbuhan global akan berkurangan daripada 6.0 peratus pada 2021 kepada 3.2 peratus pada 2022 dan 2.7 peratus pada 2023.

“Kira-kira satu pertiga daripada ekonomi dunia mengalani pertumbuhan negatif dua suku berturut-turut.

“Inflasi global diramal meningkat daripada 4.7 peratus pada 2021 kepada 8.8 peratus pada 2022 tetapi menurun kepada 6.5 peratus pada 2023 dan kepada 4.1 peratus menjelang 2024 ,” menurut laporan itu.

Di Laos, harga bahan api melambung tinggi dan kekurangan petrol pada Mei dan Jun telah memberi kesan besar kepada aktiviti ekonomi, terutamanya sektor pertanian dan pembuatan.

Sementara itu, dalam laporan dikeluarkan pada 21 Sept, Bank Pembangunan Asia (ADB) menurunkan unjuran pertumbuhan 2022 untuk Laos kepada 2.5 peratus daripada 3.4 peratus pada April dan daripada 3.7 peratus kepada 3.5 peratus untuk 2023.

Penurunan taraf itu dikaitkan dengan gangguan bekalan dan kenaikan harga komoditi hingga meningkatkan kadar inflasi.

Selain itu, Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2022 Bank Dunia turut menurunkan unjuran pertumbuhan Laos pada 2022 kepada 2.5 peratus daripada unjuran 3.8 peratus sebelumnya untuk 2023.

Pada September, Akademi Sains Sosial dan Ekonomi Laos (LASES) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya kepada tiga peratus pada 2022 daripada empat peratus yang diunjurkan pada bulan sebelumnya.

Akademi itu memaklumkan unjuran pertumbuhan ekonomi itu disebabkan pertumbuhan perlahan dalam sektor berkaitan penggunaan, eksport serta pelaburan swasta dan negeri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas