Berita

Dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand

DUA pelajar Malaysia dilaporkan terkorban dalam nahas kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand pada Sabtu.
- Diterbit 30 Mac 2024 3:00 PM MYT

DUA pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan pada Sabtu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand yang mengesahkan  kemalangan itu dalam satu kenyataan berkata nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan baki tiga orang lagi yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands untuk diberikan rawatan segera.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

Kementerian Luar dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya.

Wisma Putra juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa nahas itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington  di alamat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, 10 Washington Avenue, Brooklyn, PO Box 9422, Wellington, atau di talian: +64-4-3852439/+64-210440188 (kecemasan) dan alamat e-mel, [email protected].

Sementara itu, seorang jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ketika dihubungi Bernama mengesahkan nama pelajar yang meninggal dunia dalam nahas itu ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa yang kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.

Tiga lagi yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton juga penuntut daripada universiti sama sementara Muhamad Faris Mohd Fairusham daripada Victoria University of Wellington. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas