Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Zaliha arah DBKL timbang 165 tapak penjaja tanpa lesen

- Diterbit 24 Mei 2024 12:14 PM MYT

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang 165 tapak penjaja tanpa lesen di Bazaria Wangsa Maju (Uptown Danau Kota) dalam senarai pemutihan.

Beliau berkata kesemua tapak berkenaan akan dimasukkan ke dalam senarai tersebut bagi tujuan penawaran lesen melalui inisiatif Lestari Niaga tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Mereka yang telah diberi lesen untuk kembali berniaga kelak akan ditempatkan semula di kawasan gerai berlesen Bazaria Wangsa Maju atau di mana-mana lokasi yang berdekatan,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaliha, perobohan ke atas 165 tapak penjaja tanpa lesen di Bazaria Wangsa Maju merupakan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak DBKL.

“Penguatkuasaan tersebut turut dilakukan berikutan beberapa polimik telah berlaku kepada peniaga berlesen di tapak sedia ada serta menimbulkan kacau ganggu seperti gangguan aliran trafik termasuk penggunaan air dan elektrik yang diambil dari sumber yang tidak sah.

“Kapasiti tapak sementara Bazaria Wangsa Maju pada masa ini mampu menempatkan 500 tapak untuk peniaga berlesen,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata Pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) komited untuk memastikan penjaja yang berdaya saing di Kuala Lumpur diberi peluang melalui inisiatif Lestari Niaga untuk meneruskan perniagaan mereka secara sah dengan tapak gerai yang lebih kondusif dan berstruktur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas