Berita

Dua minggu akan datang penting, putuskan Covid-19

|
- Diterbit 4 April 2020 3:43 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengingatkan tempoh dua minggu akan datang adalah amat penting untuk memastikan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerjasama yang diberikan orang ramai kepada pihak berkaitan mampu membantu menyekat penularan wabak tersebut.

“Tempoh dua minggu akan datang ini adalah amat penting bagi memastikan rantaian jangkitan diputuskan.

“KKM minta agar duduk rumah sambil pastikan tahap kesihatan. Amalkan basuh tangan dan jarakkan diri selain gunakan topeng sekiranya mempunyai gejala,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hampir separuh iaitu 44.36 peratus pesakit positif Covid-19 berkait dengan peserta perhimpunan kluster tabligh di Seri Petaling, Februari lalu.

Beliau berkata, sebanyak 1,545 daripada 3,483 kes positif dikenal pasti dari kelompok itu.

“Ia merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya melibatkan ahli keluarga, kontak rapat di masjid dan madrasah tahfiz.

“KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini,” katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham meminta orang awam yang mempunyai kontak dengan peserta perhimpunan berkenaan supaya melakukan saringan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas