Berita

Jaga-jaga lebih ramai pulang dari luar negara pertengahan April

SARINGAN kesihatan perlu dilakukan ke atas mereka yang baru pulang dari luar negara dan kemudian jalani kuarantin. Gambar hiasan
- Diterbit 4 April 2020 1:37 PM MYT

PUTRAJAYA – Individu yang pulang dari luar negara boleh menyebabkan kes positif Covid-19 meningkat pada pertengahan bulan ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu kerajaan diminta menempatkan golongan itu di pusat kuarantin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjangkakan lebih ramai individu pulang ke tanah air terutama pelajar institusi pengajian tinggi.

“Kalau ikutkan maklumat sedia ada, termasuk menerusi MATTA Fair, jumlah kemasukan mungkin sekitar 8,000 orang.

“Bagaimanapun, kita jangkakan perangkaan sebenar adalah lebih daripada itu kerana ia membabitkan penuntut IPT dari seluruh dunia yang ingin balik ke Malaysia,” katanya dalam  sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, kawalan terhadap golongan itu perlu dilakukan sekiranya tidak mahu ramalan kes meningkat tengah bulan ini menjadi kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, individu yang ditempatkan di pusat kuarantin tidak dibenarkan bergaul bebas sesama mereka bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Katanya, individu terbabit harus kekal di bilik masing-masing sepanjang tempoh kuarantin berjalan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas