Biz

DPIM Putrajaya, Saga Cloud jalin kerjasama demi manfaat usahawan

WAKIL DPIM Putrajaya, Datuk Khairul Shahril Hamzah (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan wakil Leadcom (M) Sdn Bhd, Azli Bakar (tengah) dengan disaksikan oleh Pengerusi DPIM Putrajaya Dato’ Seri Muhammad Khanafi Husin (dua dari kiri), Pengerusi Eksekutif Leadcom, Datuk Samsul Husin (kanan) dan Pengerusi DPIM , Mohammad Sahar Mat Din (kiri).
- Diterbit 19 Mei 2023 10:57 PM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya meneruskan tradisi membantu dan membuka peluang kepada golongan usahawan memperolehi perkhidmatan yang berkualiti.

Peluang ini khususnya dalam bidang teknologi maklumat sebagai langkah pemudahcara pengurusan data apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Leadcom (M) Sdn Bhd di Cyberjaya baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan kajian dan pemerhatian terhadap kehendak usahawan supaya selari dengan perkembangan dunia perdagangan semasa.

“Keperluan golongan usahawan sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan di DPIM kita mempunyai ahli dengan kemahiran berbeza yang memerlukan gerak kerja lebih pantas tetapi berkualiti dan selamat.

“Melalui MoU dengan pihak Leadcom (M) Sdn Bhd hari ini, kita turut sama beroleh manfaatnya kerana syarikat tersebut telah membangunkan platform SagaCloud.my dan bersetuju untuk bekerjasama dengan DPIM Putrajaya dengan mempromosi platform tersebut kepada ahli sebagai rakan kongsi strategik atau pembekal solusi (solution provider).

“SagaCloud.my merupakan platform yang menawarkan tiga komponen utama Enterprise Resource Planning (ERP) secara komprehensif berteraskan pada cloud technology iaitu perakaunan, sumber manusia dan e-perolehan. Sistem yang dikenal pasti lebih menjimatkan ini dijangka akan memberi lebih banyak manfaat kepada usahawan melancarkan lagi perniagaan masing-masing,” ujarnya.

WAKIL DPIM Putrajaya, Datuk Khairul Shahril Hamzah (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dengan wakil Leadcom (M) Sdn Bhd, Azli Bakar (tengah) dengan disaksikan oleh Pengerusi DPIM Putrajaya Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (dua dari kiri), Pengerusi Eksekutif Leadcom, Datuk Samsul Husin (kanan) dan Pengerusi DPIM , Mohammad Sahar Mat Din (kiri).

Khanafi berkata demikian ketika berucap sempena MoU juga merasmikan Majlis Rumah Terbuka sempena syawal yang turut dihadiri oleh Presiden DPIM , Mohammad Sahar Mat Din, Pengerusi Eksekutif Leadcom (M) Sdn Bhd, Datuk Samsul Husin.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Maklumat Leadcom, Azli Bakar dalam ucapannya berkata, antara faedah-faedah kepada pengguna SagaCloud.my termasuk menawarkan modul ERP dalam talian, secara langganan (subscription based).

“Melalui cara tersebut, usahawan yang memerlukan perkhidmatan berkaitan boleh memperolehi sistem lebih mudah kerana boleh diakses di mana-mana dan bayaran lebih telus jika memilih perkhidmatan dalam talian.

“Modul yang ditawarkan juga secara ala-carte yang fleksibel dan mengikut keperluan semasa tanpa pembaziran kerana membeli hanya yang diperlukan sahaja dan langganan tambahan boleh diaktifkan pada bila-bila masa dan tempoh perlaksanaan juga yang lebih pendek.

“SagaCloud.my adalah hasil gabungan pembangunan yang bersandarkan pada teknologi terkini serta akses pada portal dalam talian yang lebih mesra pengguna. Ia memberikan banyak faedah dan kelebihan dalam mengoptimumkan produktiviti organisasi.

“Bukan sahaja ahli-ahli DPIM akan mendapat faedah daripada penggunaan SagaCloud.my, malah turut berpeluang untuk menjana pendapatan yang besar melalui program rakan kongsi strategik (Reseller) atau Pembekal Solusi (Solution Provider) di peringkat nasional dan global,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas