Biz

KPDN lancar inisiatif Payung Rahmah bersama pasar raya Giant

SALAHUDDIN (kanan) melihat harga Jualan Rahmah ayam untuk pelanggan Giant.
- Diterbit 19 Mei 2023 12:00 PM MYT

MENTERI Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan Inisiatif Payung Rahmah bersama Giant Hypermarket bertempat di Giant Hypermarket Batu Caves pada Isnin.

Beliau berkata inisiatif ini akan dilaksanakan oleh pihak GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd di mana program itu meliputi empat inisiatif di bawah program tersebut iaitu Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah.

“Semua cawangan pasar raya dan pasar raya besar Giant di seluruh negara yang melaksanakan inisiatif Payung Rahmah meliputi aktiviti Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah menawarkan barang keperluan dengan tawaran penjimatan antara 10 peratus sehingga hingga 30 peratus atau lebih,” ujar beliau.

Beliau berkata melalui program Payung Rahmah ini, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga berpatutan di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.

“Diharapkan agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan,” jelas beliau.

Terdahulu, sebanyak 30 Bakul Rahmah diedarkan kepada penerima daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang dikenal pasti melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Ia mengandungi pelbagai pilihan barangan keperluan asas termasuk beras, minyak, gula dan mi,” kata beliau yang turut memaklumkan 1,500 Bakul Rahmah bernilai RM75,000 diperuntukkan sepanjang tahun ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas