Biz

DPIM berkolaborasi dengan Irfan Khairi… Pupuk usahawan guna video capai sasaran

NAIB Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi (duduk hadapan kanan) bersama Pakar Perniagaan Internet, Irfan Khairi dan wakil DPIM Malaysia dan kakitangan Irfan Khairi Sdn Bhd selepas memeterai perjanjian bersama di pejabat IKSB, Oval Damansara, baru-baru ini.
- Diterbit 20 Disember 2022 2:10 PM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Pakar Perniagaan Internet, Irfan Khairi dan syarikatnya Irfan Khairi Sdn Bhd (IKSB) di pejabatnya Oval, Damansara baru-baru ini.

MOU dengan perjanjian membimbing usahawan DPIM teknik dan strategi pemasaran dalam talian melalui program Trend Digital Marketing 2023 bermula selama dua hari berturut-turut iaitu 20 dan 21 Disember 2022 yang melibatkan seramai 500 peserta.

NAIB Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi (duduk hadapan kanan) bersama Pakar Perniagaan Internet, Irfan Khairi dan wakil DPIM Malaysia dan kakitangan Irfan Khairi Sdn Bhd selepas memeterai perjanjian bersama di pejabat IKSB, Oval Damansara, baru-baru ini.

Ketika ini, DPIM mempunyai hampir 2,000 ahli di seluruh negara dengan mempunyai cawangan dan ahli kenegerian masing-masing.

Bagi tujuan tersebut, beberapa ahli peringkat tertinggi DPIM termasuk wakil DPIM pusat diketuai oleh Naib Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi telah mengunjungi IKSB di Damansara bagi perbincangan lanjut.

Jamal dalam kenyataannya berkata, DPIM sentiasa peka dengan kehendak usahawan yang mahu mempelajari selok-belok perniagaan dalam talian dengan bimbingan guru yang betul.

“Kebanyakan ahli DPIM kini mengakui pemasaran melalui talian semakin diterima ramai dan bersedia untuk diberi tunjuk ajar kerana ekonomi kini semakin rancak dan pernintaan terhadap produk dan perkhidmatan juga bertambah.

“Walaupun usahawan mengakui perniagaan konvensional masih relevan namun mereka tidak mahu ketinggalan dengan trend semasa,” ujarnya.

PAKAR Perniagaan Internet, Irfan Khairi akan akan membimbing usahawan DPIM dalam program Trend Marketing 2023.

Sementara itu, Irfan Khairi yang tinggal di Dubai telah pulang ke negara ini beberapa hari atas urusan perniagaan mengakui teruja dengan kunjungan DPIM yang dianggapnya sebagai permulaan yang baik menjelang tahun baharu 2023.

“Sepanjang pandemik COVID-19, saya tidak pulang ke Malaysia dan baru tiga bulan lepas kembali berulang alik.

“Banyak perkembangan yang baik berlaku di negara kita dan inilah masa terbaik untuk menyusun strategi membimbing usahawan dalam beberapa siri program yang bakal berlangsung,” ujarnya.

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut mendedahkan ledakan trending terbaik pada masa hadapan adalah melalui pemasaran video.

“Selama ini usahawan terikat dengan beban mengeluarkan perbelanjaan untuk biaya iklan di media sosial.

“Justeru itu untuk pelajar yang mengikuti program, saya akan tunjukkan walaupun tanpa pengikut yang ramai dan tidak popular tetapi dengan video yang dipelajari sasaran jualan dapat dicapai.

“Program organik ini perlu direbut oleh semua usahawan yang mahu mengukir kejayaan kerana penggunaan video bagi tujuan pemasaran di negara ini hanya sekitar 5 peratus sahaja dan jumlah ini sangat rendah.

“Jika ada pun yang menggunakan video sebagai senjata namun tidak konsisten atas alasan masalah peribadi, tidak yakin, malu, tidak tahu membuat suntingan, saiz video besar tidak mampu menambah kredit talian telefon dan banyak lagi alasan.

“Sehubungan itu saya mengajak para pelajar bersedia termasuk ahli di kalangan DPIM yang berminat untuk saya tunjukkan caranya tanpa pemilik perniagaan tersebut muncul di video yang dihasilkan,” ujarnya.

Beliau yang juga pengedar abaya dan jubah yang diimport dari Dubai turut mengalu-alukan pengedar yang berminat untuk bekerjasama termasuk ahli DIPM yang mempunyai perniagaan dalam bidang fesyen. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas