Biz

Isu tular ganggu bisnes, emosi… Skin Dessert ambil tindakan undang-undang terhadap SIRIM

|||ISU yang tular telah menjejaskan bisnes dan mengganggu emosi Zirra dan Aliff.
- Diterbit 22 Disember 2022 1:24 AM MYT

AILEZEE Rich Sdn Bhd selaku pengeluar produk kosmetik Skin Dessert telah membuat sidang media di restoran di ibu negara untuk menjelaskan isu tular berkenaan produk tersebut bersama SIRIM serta beberapa perkara berkaitan dengan produk mereka.

Pihak Ailezee telah memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan pada 7 Disember 2022 lalu terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular menerusi platform media sosial baru-baru ini.

Isu ini bermula pada 4 Oktober 2022 apabila Pengasas Skin Dessert, Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan Skin Dessert, Mohd Aliff Abd Kadir memuat naik gambar mereka di hadapan bangunan SIRIM di media sosial dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Skin Dessert sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM.

Buktinya, Skin Dessert menerusi ejen yang dilantik iaitu Abam Peah Holdings Sdn Bhd telah membuat dua kali bayaran kepada SIRIM untuk menjalankan dua jenis ujian iaitu Ujian Kerengsaan Kulit (Skin Irritation Test) dan Ujian Keberkesanan Produk terhadap produk keluaran iaitu ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer.’

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Skin Dessert, Mohd Aliff Abd Kadir, isu tersebut memberi kesan negatif terhadap bisnes dan peribadi.

“Disebabkan isu yang tular itu, kami mendapat tohmahan yang menyatakan langkah ini hanyalah gimik jualan.

“Ingin saya jelaskan, pada 8 September 2022, pihak kami telah menghantar produk utama iaitu Skin Dessert Repairing Moisturizer untuk tujuan ujian makmal kepada SIRIM.

“Kemudian, pada 16 November 2022, SIRIM telah menyerahkan report ujian kepada pihak kami. Hasil report ujian daripada SIRIM itu, Skin Dessert Repairing Moisturizer dinyatakan sebagai, ‘Under the condition of this test, Skin Dessert Repairing Moisturizer is consider as NON-IRRITANT (NI) to in vitro skin LabCyte EPI-Model 24’,” katanya pada sidang media di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Pengasas Skin Dessert Zirra Abdullah dan peguam yang dilantik oleh Ailezee Rich Sdn Bhd, Nur Nazuha binti Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers.

DARI kiri: Nur Nazuha, Zirra dan Mohd Aliff pada sidang media di Bamboo Hills.

Menurut Aliff lagi, bukan sahaja melalui proses SIRIM, tetapi pihaknya turut menghantar produk Skin Dessert untuk ujian makmal di Pusat Racun Negara.

“Berikutan itu, melalui Pelan Penstrukturan Semula Jangka Masa Panjang Skin Dessert, kesemua produk akan dihantar untuk ujian makmal secara berperingkat bermula dengan Skin Dessert Repairing Moisturizer.

“Skin Dessert juga turut menghantar enam produk untuk ujian makmal di Pusat Racun Negara Malaysia Universiti Sains Malaysia.

“Hasil ujian, kesemua produk yang dihantar diklasifikasikan sebagai Not Detected atau diuji bebas daripada kandungan logam berat. Ujian produk telah dijalankan di Makmal Toksikologi Pusat Racun .

ISU yang tular telah menjejaskan bisnes dan mengganggu emosi Zirra dan Aliff.

Terdahulu, berikutan muat naik gambar di hadapan SIRIM itu, SIRIM menerusi akaun rasmi media sosialnya meninggalkan komen pada gambar yang dimuatnaik Zirra

“SIRIM Berhad ingin menegaskan bahawa SIRIM Berhad tidak pernah menialankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pengujian produk kosmetik, sila hubungi [email protected],” tulis SIRIM menerusi media sosialnya.

Komen yang dibuat SIRIM itu telah menyebabkan isu produk Skin Dessert semakin tular mengakibatkan Zirra dan Alif menerima pelbagai kecaman daripada netizen selama dua bulan sehingga merosakkan reputasi perniagaan serta kerugian.

Bukan itu sahaja, pasangan ini turut mengalami tekanan emosi apabila mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.

Malah menurut mereka, komen SIRIM itu jelas bertentangan memandangkan Skin Dessert sudah membat permohonan pengujian produk dan menghantar sampel produk kepada SIRIM pada 8 September 2022.

Pengujian Produk Oleh SIRIM

SIRIM kemudian menerusi surat bertarikh 26 Oktober 2022 memaklumkan terpaksa membatalkan permohonan pengujian ke atas produk sampel produk yang telah dihantar oleh Skin Dessert.

Bayaran yang telah dibuat untuk kedua-dua ujian tersebut akan dipulangkan kepada syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd selaku pengantara Skin Dessert dan SIRIM.

Susulan komen dan surat pembatalan yang dibuat SIRIM syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd memohon untuk mengadakan satu periumpaan dengan SIRIM bagi membincangkan isu yang timbul.

Pertemuan telah berlangsung pada 2 November 2022 dan antara perkara yang dibincangkan adalah permintaan Skin Dessert supaya SIRIM memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenar yang terjadi di mana Skin Dessert telah mengemukakan permohonan serta membayar kepada SIRIM bagi menjalankan dua ujian iaitu ujian kerengsaan kulit dan ujian keberkesanan produk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer’.

SIRIM bersetuju untuk meneruskan ujian untuk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer’ seperti yang dirancang. Pada 16 November 2022 laporan ujian untuk produk tersebut telah dikeluarkan SIRIM.

Hasil laporan uilan daripada SIRIM menyatakan bahawa ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer sebagai: “Under the condition of this test, Skin Dessert Repairing Moisturizer is consider as NON-IRRITANT (NI) to in vitro skin LabCyte EPI-Model 24.

Skin Dessert ketika ini masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan memandangkan pihak peguam yang mewakili SIRIM masih dalam proses menunggu arahan lanjut dan jawapan SIRIM berhubung tuntutan Skin Dessert seperti dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Disember 2022.

Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang dibuat pihak itu (dalam media sosial) adalah kenyataan berniat yang tidak menggambarkan situasi sebenar kepada umum.

Kenyataan dibuat SIRIM telah menimbulkan keraguan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang terjadi kepada umum.

Tindakan itu berpotensi menimbulkan fitnah yang merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, agen serta pengguna terhadap Skin Dessert.

Kenyataan agensi itu menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi Skin Dessert ada agenda tersembunyi dan jenama Skin Dessert tidak boleh dipercayai.

Produk Telah Lama Dihentikan Pengeluaran

Untuk makluman juga, produk Skin Dessert Moisturizer Treatment’ yang dibatalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Oktober 2022, sudah dihentikan pengeluaran dan produksi akhir produk itu adalah pada Disember 2021.

Skin Dessert sudah menarik balik produk ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ daripada pasaran dan dihentikan pengeluaran pada Disember 2021 melalui sat MEMO yang disiarkan menerusi platform sosial media rasmi Skin Dessert.

Produk ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer’ adalah produk baharu yang menggantikan ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ iaitu produk yang dihantar kepada SIRIM untuk membuat ujian keselamatan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas