Berita

Dodol turun temurun Kedah di ibu kota

RETIZA di hadapan ruang niaga di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Gambar
- Diterbit 7 Mei 2021 8:32 AM MYT

DODOL merupakan antara makanan tradisi masyarakat Melayu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Malah setiap kali menjelangnya Syawal, ia pasti menjadi pilihan ramai.

Menyedari  keistimewaan juadah yang satu ini, Retiza Abd Rashid, tidak melepaskan peluang untuk memasarkan dodol istimewa resipi turun temurun keluarganya di Kedah.

Dikenali dengan nama, House of Dodol, menariknya dodol yang dihasilkan olehnya ini disediakan secara tradisional bermula daripada bahan-bahan sehinggalah kepada sesi mengacau.

“Zaman sekarang, kalau nak mudah, orang akan buat dodol menggunakan periuk tekanan tinggi ataupun ketuhar namun saya tetap memilih untuk menyediakannya secara tradisional.

“House of Dodol dikacau di dalam kawah besar dengan nyalaan api menggunakan kayu hampir enam jam. Setelah itu, barulah dodol masak dengan sempurnanya.

Jika tidak dimasak dengan betul, ia mudah berkulat dan berbau hapak,” ujar Retiza.

Menariknya, dodol yang dihasilkan setiap dua minggu sekali bagi memastikannya sentiasa segar ini boleh didapati setiap masa tanpa mengira hari perayaan semata-mata.

“Jika hari-hari biasa, kami berjaya menjual sekurang-kurangnya 100 bungkus dodol sementara Aidilfitri tahun lalu pula, House of Dodol menerima tempahan lebih 1,000 bungkus,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dengan harga RM20 sebungkus, juadah tradisional ini boleh didapati di ruang niaga A Tea Shop, Lekat di Hati yang terletak di Tingkat 4, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Merupakan salah seorang peniaga di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang dirangka bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan(KWP) serta agensi kerajaan lain yang berkaitan dengan pembangunan usahawan, Retiza bersyukur diberi peluang berniaga.

“Alhamdulillah, kesempatan yang diberi akan digunakan sebaiknya untuk saya menjana pendapatan. Bukan mudah untuk mendapat peluang berniaga di tengah ibu kota kerana kos sewaan yang tinggi,” ujarnya.

Selain dodol, Retiza turut menjual kuih semperit, tat nanas, satay serai, minyak wangi dan banyak lagi.

“Jemputlah singgah untuk menikmati harga istimewa. Bagi yang tidak berkesempatan untuk datang, boleh juga mendapatkannya di laman Instagram; arianatea_official, Facebook; Ong Carolina Mya atau WhatsApp ke 011-1885 2064,” ujar Retiza

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas