Berita

JAKIM tampil beri sumbangan kepada petugas barisan hadapan di TPS

TPS bekerjasama dengan JAKIM menghulurkan sumbangan juadah berbuka kepada barisan hadapan pengangkutan awam di Terminal Putrajaya Sentral pada Khamis.
- Diterbit 7 Mei 2021 6:11 AM MYT

BAGI menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di sektor pengangkutan awam, pihak pengurusan Terminal Putrajaya Sentral (TPS) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil untuk memberi sumbangan juadah berbuka puasa.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Bakri Amboala, Program Ihya’ Ramadan ini diadakan pada setiap tahun dan kali ini pihak JAKIM perlu bekerja lebih keras oleh kerana pandemik COVID-19 yang tidak membenarkan majlis berbuka diadakan di masjid seperti tahun sebelum ini.

“Setiap tahun kita akan buat Program Ihya’ Ramadan ini untuk beri makanan berbuka puasa cuma pada kali ini kita kena kerja lebih keras sedikit kerana orang ramai tidak dapat hadir ke masjid.

“Sebenarnya ini juadah berbuka puasa di Masjid Al-Mizan di mana mereka sudah menempah sebanyak 1,000 pek makanan dalam sehari dan kami di bahagian dakwah diberi tanggungjawab untuk edarkan juadah tersebut kepada orang ramai,” katanya kepada Wilayahku selepas majlis penyampaian sumbangan juadah berbuka di TPS.

Jelasnya program di TPS adalah antara yang terakhir dan peruntukan adalah sumbangan dari pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Ini antara program yang terakhir di TPS, kita telah meminta kerjasama pekerja Putrajaya Sentral untuk agihkan kepada orang awam yang menggunakan pengangkutan awam.

“Peruntukan adalah sumbangan dari Masjid Tuanku Mizan sendiri kerana makanan ini mereka yang sediakan, bahagian dakwah hanya agihkan sahaja dan merupakan program kesembilan yang terakhir jadi jika ada yang mahu lagi kita akan cuba hantar. Cadangannya Jumaat akan diagihkan kepada petugas-petugas di tanah perkuburan Presint 20,” tambahnya.

Bakri berharap mereka yang menerima sumbangan dapat mendoakan pihak yang telah memberi sumbangan dan berkata JAKIM akan adakan rakaman takbir raya sebagai persiapan raya akan tiba tak lama lagi.

Mengulas mengenai Program Ihya’ Ramadan ini, Pengarah Pelaburan, Anak Syarikat dan Kawalan Kredit, Perbadanan Putrajaya (PPj), Aminuddin Abd. Hamid berkata ini merupakan kerjasama kali keempat dengan pihak JAKIM dan secara besar-besaran di mana pihak TPS akan agihkan kepada petugas barisan hadapan dan juga orang awam.

“Kita terima sebanyak 150 pek makanan dan akan agihkan kepada pemandu bas, teksi, e-hailing serta orang awam yang menggunakan pengangkutan awam di TPS ini,” katanya kepada Wilayahku.

Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada pihak JAKIM sendiri yang sudi bekerjasama turun padang untuk melihat keadaan di sekitar TPS dan berbesar hati agar kerjasama baik ini dapat diteruskan pada satu jangka yang panjang.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihak TPS tidak melakukan sebarang persiapan raya kerana tertakluk kepada arahan semasa dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan beroperasi 24 jam seperti biasa menjelang raya. – WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas