Berita

PPj, Kelab Media Putrajaya rai petugas barisan hadapan

AZMI (tengah) turun padang menyerahkan pek bersahur kepada
- Diterbit 7 Mei 2021 9:07 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) bersama Kelab Media Putrajaya tampil meraikan petugas barisan hadapan di Putrajaya dengan mengedarkan 370 pek juadah berbuka dan bersahur.

Program yang julung kali diadakan itu sebagai tanda menghargai jasa petugas barisan hadapan yang sentiasa bertugas tanpa mengira waktu dalam situasi COVID-19.

Menurut Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, program kerjasama antara PPj dan Kelab Media Putrajaya ini merupakan usaha murni bagi mengenang jasa petugas barisan hadapan.

“Mereka sentiasa komited menjalankan tugas bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan dibendung tidak kira masa,” ujar beliau sejurus menyempurnakan agihan makanan kepada petugas yang dirai.

Turut hadir pada program tersebut Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat PPj, Datuk TPr Azizi Ahmad Termizi dan Pengarah Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah.

Terdahulu, bermula seawal pukul 4 pagi, sejumlah 170 pek makanan bersahur diagihkan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya dan sekatan jalan raya Lebuh Sentosa diikuti dengan sumbangan pek makanan berbuka sebanyak 200 pek di Hospital Putrajaya pada pukul 4.30 petang

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas