Berita

Dewan Rakyat lulus RUU Polis (Pindaan) 2024

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Mac 2024 6:20 PM MYT

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024, antara lain melantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 16 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini berkata pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM melibatkan pindaan terhadap Fasal 2 Akta Polis 1967 (Akta 344) dengan memasukkan seksyen baharu 6A.

Beliau berkata pindaan itu dibuat bagi memberi perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal adat istiadat PDRM selain mengiktiraf kedudukan sebagai ketua agama negara di bawah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan penganugerahan pangkat Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM kepada Yang di-Pertuan Agong telah diperkenan dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja ke-265 yang berlangsung pada 21 dan 22 Feb 2024 di Istana Negara,” katanya.

Mengulas mengenai Statut Rom, beliau berkata tidak timbul isu Yang di-Pertuan Agong dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kes yang berkaitan memandangkan kuasa perintah dan kawalan pasukan polis seperti diperuntukkan di dalam Akta 344 adalah di bawah kuasa Ketua Polis Negara.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata pindaan akta itu juga melibatkan Fasal 3 bagi meminda Seksyen 17 iaitu menaikkan denda maksimum daripada RM100 kepada RM5,000 bagi kesalahan berkaitan pegawai polis yang telah terhenti tugasnya tetapi tidak memulangkan kelengkapan keanggotaan seperti senjata, amunisi dan lain-lain.

Beliau berkata pindaan tersebut hanya terpakai kepada pegawai dan anggota polis yang bersara wajib atau berhenti daripada perkhidmatan sahaja.

“Sejak 1967, peruntukan denda di bawah seksyen ini tidak pernah dipinda. Kadar denda ditingkatkan daripada RM100 kepada RM5,000 adalah bersesuaian dengan peredaran masa walaupun statistik menunjukkan belum ada kes direkodkan sebagaimana kesalahan berkenaan, peningkatan perkara ini adalah satu kaedah pencegahan daripada perkara ini berlaku,” katanya.

Terdahulu, bacaan kali pertama pindaan itu dibentang di Dewan Rakyat oleh Shamsul Anuar Nasarah pada Isnin sebelum bacaan kali kedua semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas