Berita

MAIWP serah sumbangan RM480,000 kepada pesakit, petugas barisan hadapan HKL, HTA

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Mac 2024 6:00 PM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyampaikan sumbangan tunai kepada 1,500 orang pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) melibatkan peruntukan sebanyak RM225,000.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata sumbangan berkenaan bukan hanya diberikan kepada pesakit beragama Islam, tetapi juga bukan Islam sebagai tanda keprihatinan MAIWP kepada masyarakat berbilang kaum dan bangsa.

“Setiap tahun MAIWP meraikan Ramadan bersama-sama pesakit hospital di sekitar Kuala Lumpur.

“Usaha ini dilaksanakan untuk mengetengahkan kepada orang ramai dan masyarakat di luar sana betapa kerajaan melalui agensi-agensi bertanggungjawab khususnya MAIWP bersama-sama meraikan Ramadan dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan,” katanya pada majlis Rahmah Ramadan MAIWP: Majlis Sumbangan Kepada Pesakit Hospital dan Petugas Barisan Hadapan hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan sumbangan sebanyak 17,000 Pek Makanan Ramadan kepada petugas barisan hadapan di pelbagai agensi melibatkan peruntukan sebanyak RM255,000.

Pengarah HKL Datin Paduka Dr Rohana Johan dalam ucapannya melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan melalui MAIWP yang sentiasa mengambil berat nasib dialami golongan tidak berkemampuan serta berkeperluan dalam memenuhi hasrat pembangunan negara.

“Usaha sebegini bukan sahaja akan memberi makna yang besar kepada pesakit, tetapi juga merupakan satu suntikan motivasi kepada petugas kesihatan menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas