Berita

Dewan Merdeka jadi pentas keharmonian kaum

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik berhimpun di Dewan Merdeka WTC pada Ahad.
- Diterbit 19 Mei 2023 9:06 AM MYT

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Ahad lalu merupakan titik permulaan kepada gerbang politik Malaysia ke arah lebih progresif, menumpukan jalinan kerjasama lebih konkrit dan menyatukan sebahagian besar parti-parti politik yang menyokong iklim politik negara lebih baik pada masa akan datang.

Dewan Merdeka WTC membuka lembaran sejarah baharu dengan menghimpunkan parti-parti politik daripada pelbagai kaum yang dahulunya berseteru dan kini membentuk sebuah gabungan yang mengubah landskap politik negara.

SYED AGIL

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Assagof berpandangan, banyak strategi yang harus dilaksanakan selepas konvensyen tersebut termasuklah menubuhkan sekretariat yang menguruskan hal-hal berkaitan dengan isu-isu sosiopolitik, ekonomi yang disuarakan oleh parti-parti politik dan tidak bertumpu kepada sokongan politik semata-mata.

“Sekretariat ini perlu merangka pelan struktur pembangunan politik harmoni yang berterusan, mudah difahami oleh pemimpin dan rakyat serta mengorak langkah mendapatkan sokongan padu daripada rakyat.

“Hal ini supaya amalan politik di negara ini menjadi lambang demokrasi bersih yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara berterusan dan bukan bertumpu pada musim-musim pilihan raya umum semata-mata.

“Selain itu mengembalikan hak kebebasan rakyat menikmati kehidupan di bawah lembayung iklim politik yang progresif, menggalakkan mereka mengamalkan hak-hak memilih pemimpin, parti yang dapat mewakili, membela nasib rakyat dengan lebih baik, cekap, menepati kehendak serta keperluan rakyat dan negara bagi membina Malaysia lebih makmur,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Beliau yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata konvensyen Kerajaan Perpaduan boleh dijadikan sebagai pelopor kepada rancangan-rancangan strategik penyuluhan bidang politik, ekonomi dan pembangunan sosial rakyat agar lebih baik tanpa mengira ideologi politik.

“Suatu hari nanti, sekiranya pelanpelan strategik ini dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, saya percaya Malaysia boleh bangkit menjadi negara maju yang mengamalkan amalan demokrasi yang memenuhi hasrat masyarakat majmuk di negara ini,” ujar beliau.

Terdahulu, konvensyen bertemakan MADANI Mewajahi Masa Depan Malaysia menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan tentang perpaduan.

Lebih 3,500 perwakilan melibatkan beberapa sesi iaitu Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan, Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, Bicara Rakyat dan acara kemuncak iaitu amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas