Berita

Aidilfitri Malaysia Madani@ Dataran Merdeka lambang perpaduan masyarakat

SEKITAR suasana Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka 2023.
- Diterbit 19 Mei 2023 8:59 AM MYT

PROGRAM Aidilfitri Malaysia Madani@Dataran Merdeka yang berlangsung baru-baru ini membuktikan kesatuan ukhuwah silaturahim masyarakat Malaysia meskipun berbeza latar belakang, bangsa dan agama.

Menyambut baik pelaksanaan program tersebut, salah seorang pengunjung,

FARIS NUR

 Shuhaini berharap agar ia diteruskan pada masa akan datang.

“Ini adalah kali pertama saya bersama isteri dan anak datang ke sini. Sudah tentu, saya sangat teruja melihat kehadiran orang ramai termasuk pelancong asing bersama-sama memeriahkan majlis ini.

“Ia juga secara tidak langsung memperkenalkan budaya masyarakat Malaysia serta merancakkan pelancongan negara,” ujarnya kepada Wilayahku.

SITI AISHAH

Sementara itu, Siti Aishah Ali berkata program tersebut memberi pengalaman baru buatnya memandangkan ini adalah kali pertama dia meraikan hari raya beramai-ramai.

“Saya tidak pernah merasai suasana seperti ini biasanya hanya pergi rumah terbuka di rumah rakan sahaja tetapi kali ini saya dapat makan beramai-ramai dengan berlatarbelakangkan bangunan bersejarah negara.

“Selain kita meraikan Aidilfitri, program ini juga memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya di Kuala Lumpur ini untuk sama-sama menikmati juadah enak,” katanya.

Terdahulu, Program Aidilfitri Malaysia Madani anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama-sama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganjuran program tersebut bermula sejak tahun 2019 dan diteruskan pada 2021 itu berjaya mencatat jumlah kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa seramai lebih 20,000 orang pada tahun ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas