Berita

Jemaah Menteri persembah cadangan kalimah Allah

istana negara
- Diterbit 19 Mei 2023 9:12 AM MYT

JEMAAH Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi menyelesaikan isu kalimah Allah secara menyeluruh dan bersepadu.

“Pada masa sama bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Anwar berkata Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan menarik semula rayuan terhadap kes Jill Ireland hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak mengubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” tegas beliau.

Terdahulu, pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah.

Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas