Berita

Deretan bangunan lama sembunyi bar ‘rumah hantu’

SIAPA sangka bangunan lama ini menyembunyikan aktiviti hiburan malam tanpa lesen.
- Diterbit 25 September 2020 7:19 AM MYT

RISIKAN yang dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa  seminggu berjaya menemukan empat buah bar ‘tersembunyi’ yang terletak di Jalan Sultan berhampiran Jalan Petaling.

Ada antara bar ini dihias dengan dekorasi seperti kelab eksklusif, dan bukan hanya  menyediakan minuman keras, sebuah band muzik turut disediakan untuk menghiburkan  pengunjung.

Sebuah lagi bar, dihias ala rumah hantu dengan beberapa patung hantu dan rangka manusia tiruan digantung untuk tarikan pelanggan.

Kesemua bar tersebut terletak di tingkat satu sebuah bangunan perniagaan, premis itu juga diperincikan dengan pintu berkod keselamatan tinggi dan difahamkan hanya menyasarkan pelanggan tetap dan individu tertentu yang tahu kewujudannya.

Bagaimanapun, taktik pengusaha itu dapat dihidu Jabatan Penguatkuasa DBKL apabila kegiatan mereka berjaya dikesan dan serbuan dilakukan di empat premis berasingan baru-baru ini.

Operasi Tegas Banteras Aktiviti Haram (TEBAH) diketuai DBKL itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

RANGKA manusia tiruan digantung sebagai hiasan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, operasi yang bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi, membabitkan kekuatan 175 pegawai dan anggota.

“Ramai yang tak tahu kewujudan bar kerana kedudukan yang tersorok. Tetapi berdasarkan  maklumat awam, kita telah melakukan risikan dan menyerbu premis berkenaan.

“Kita mengesan ada empat bar tersembunyi dan pemeriksaan mendapati kesemua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan dan lesen hiburan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Beliau berkata, terdapat pengusaha bar yang menyediakan rumah tumpangan tanpa lesen di bangunan yang sama selain mengubah suai bangunan tanpa kelulusan DBKL.

“Kami telah mengarahkan pengusaha terbabit menghentikan operasi rumah tumpangan berkenaan dan meminta penghuni mengosongkan premis dalam tempoh 24 jam sebelum tindakan sita diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, polis turut mengambil tindakan terhadap 61 individu yang terdiri daripada 52 warga tempatan dan sembilan warga asing mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Jika didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang,” katanya.

Tegasnya lagi, DBKL akan meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti haram.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas