Berita

2,378 individu dikompaun langgar PKPP

Gambar hiasan.
- Diterbit 25 September 2020 7:22 AM MYT

SERAMAI 2,378 individu dikenakan kompaun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terbabit dalam aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal di pub dan kelab malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sepanjang tempoh PKPP, pihaknya telah membuat serbuan ke atas 131 premis.

“Serbuan diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana maklumat mengenai aktiviti hiburan yang melanggar syarat PKP diperoleh daripada mereka.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis menjalankan pemeriksaan kepada semua pengunjung dari aspek jenayah selain membantu pihak DBKL menjalankan pemeriksaan terhadap penjaga premis terbabit kerana menjalankan perniagaan hiburan secara haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.

Menurut Nik Ros Azhan, beberapa warga asing juga ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP Pemulihan yang bermula Julai lalu pula, pihaknya telah menjalankan 91 serbuan dan pemeriksaan terhadap 873 pub dan kelab malam di sekitar ibu kota.

“Melalui operasi tersebut, seramai 637 tangkapan dibuat dan 1,431 individu telah dikompaun,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, operasi yang dilakukan bersama DBKL itu bertujuan untuk membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pemilik premis.

“Polis hanya boleh mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis dan pengunjung.

“Manakala kuasa untuk menarik lesen, menyita peralatan dan menutup perniagaan adalah di bawah bidang kuasa DBKL,” jelas beliau.

Beliau berkata, semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur sentiasa memantau mana-mana premis hiburan yang didapati melanggar syaratsyarat yang ditetapkan semasa PKPP.

“Pada masa ini, kita sedia maklum bahawa kerajaan masih belum membenarkan mana-mana pusat hiburan beroperasi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbarnya berkata, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika membuat serbuan di pusat hiburan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) supaya tindakan lebih tegas dapat diberikan kepada pemilik premis.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas