Berita

Demi cinta kepada bumi Labuan

SITI SHAZWANA menjalani latihan bagi memperbaiki mutu tendangan.
- Diterbit 14 Februari 2020 12:22 PM MYT

ATLET silat negara, Siti Shazwana Ajak, 28, mahu masyarakat Labuan mahir dalam seni bela diri yang terkenal di seluruh dunia.

Menurutnya, rugi seandainya mereka tidak mendalami seni Nusantara Melayu yang semakin popular dalam kalangan warga asing.

Sebagai anak jati Wilayah Persekutuan Labuan, Siti Shazwana merupakan antara pesilat wanita kebanggaan wilayah tersebut.

Malah ketangkasan penyumbang emas pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa Belgium tahun lalu ini begitu digeruni pihak lawan.

“Rugi kiranya seni mempertahankan diri yang dikatakan telah wujud ribuan tahun dahulu di tanah Melayu ini tidak dipelajari dan seterusnya gagal melahirkan pelapis muda yang memperjuangkannya.

“Jika diikutkan, semua orang perlu mempelajarinya kerana ia bukan sahaja sekadar untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh bahkan silat mampu menjadikan diri berani di samping meningkatkan keyakinn diri sendiri,” ujarnya.

Tambah pelajar jurusan Sarjana Pengurusan Awam, Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur ini lagi, bagi memastikan masyarakat di Labuan tidak ketinggalan mendalami ilmu persilatan, dia bersedia menjadi jurulatih secara sambilan bagi mengajar sekali gus memperkenalkan kehebatan seni tersebut.

“Pada masa sama, saya akan terus memperjuangkannya dan mencipta lebih banyak kejayaan untuk membuktikan keunggulan legasi Melayu ini. Diharapkan bukan sahaja di Labuan bahkan silat akan terus bersinar di mata dunia,” ujar Siti Shazwana.

Bercerita lanjut tentang keterujaannya terhadap silat, menurut atlet dalam kategori tanding kelas D wanita ini, dia mula bergiat aktif pada tahun 2012 yang mana ketika itu, dia mendapat sokongan padu daripada seluruh keluarga untuk lebih serius.

“Dengan keizinan tersebut juga saya mampu berada di tahap ini. Ternyata restu ibu bapa membawa kepada kejayaan,” ujarnya yang berada di kedudukan nombor tiga dunia didahului Singapura dan Thailand.

Berkongsi kenangan manis dalam dunia silat, anak bongsu daripada lima orang
adik-beradik ini tidak dapat melupakan saat memenangi emas pertama dalam skuad kebangsaan ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Masa itu saya hanya sempat berlatih selama empat bulan sebelum kejohanan. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. Ia seolah mimpi indah yang tidak mampu saya lupakan hingga hari ini,” ceritanya.

Beralih kepada cabaran yang sering dihadapi bukan sahaja olehnya bahkan atlet lain, Siti Shazwana berkata, seseorang atlet tidak pernah terlepas daripada risiko kecederaan.

“Apabila adanya kecederaan, maka ia akan mengambil masa untuk sembuh kembali namun sebagai atlet, kita perlu sentiasa bersedia daripada segi mental walaupun di
belenggu kecederaan ringan mahu pun serius,” ujarnya.

Tagih emas Bakal menyertai Kejohanan Dunia di Sarawak pada bulan Julai nanti, dia kini sibuk menjalani tiga sesi latihan setiap hari sebagai persediaan untuk meraih lebih banyak lagi pingat emas.

“Sebelum Julai, saya juga akan terlibat dengan beberapa temasya besar antaranya Terbuka Antarabangsa Belgium, kerana itu, saya memerlukan lebih banyak latihan yang intensif,” ujarnya.

Menjadikan Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir sebagai idola, Siti Shazwana beruntung kerana dapat berlatih dan mencungkil ilmu bersama atlet tersebut.

“Kata orang, kalau kita mahu menjadi juara perlu berguru dengan juara, jadi saya gunakan kesempatan tersebut dengan sebaiknya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas