Berita

Empat lagi pesakit Covid-19 sembuh, dibenarkan pulang

DR. WAN AZIZAH dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 12:50 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA – Kecekapan dan usaha bersungguh-sungguh pasukan pakar perubatan Malaysia dalam menangani jangkitan Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) membuahkan hasil.

Ini apabila empat lagi individu yang sebelum ini dikesan kesan positif Covid-19 telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang sembuh seramai tujuh orang daripada 19 orang yang telah dijangkiti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, keempat-empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka telah dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor pada 24 Januari 2020 dan telah dilaporkan positif Covid-19.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azizah lagi, beliau turut dimaklumkan juga bahawa tiada pertambahan kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 19 kes.

“Sembilan kes dalam kalangan kes Pesakit-Bawah Siasatan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat
dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah tersebut, 13 orang adalah warganegara China dan enam orang adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Wan Azizah berkata, sehingga kini, aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan lagi bagi mengenalpasti kontak rapat kepada kes.

“Sebanyak 239 kontak rapat telah dikenal pasti dan jumlah ini akan bertambah sehingga pengesanan kontak rapat ini selesai.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 181 kontak rapat tersebut terdiri daripada warganegara Malaysia, 46 warganegara China dan 12 lagi lain-lain warganegara.

“Kesemua kontak rapat yang telah dikesan ini, telah diambil sampel dan diletakkan di perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa China menerangkan terdapat peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19 adalah disebabkan
perubahan definisi kes positif bagi Wilayah Hubei.

“Mana-mana pesakit di Wilayah Hubei yang menunjukkan kesemua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes yang positif (clinically diagnosed cases).

“Bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas