Berita

“Demam Denggi Tiada Ubat, Kena Banyak Minum Air” – IDZHAM ISMAIL

Nor Abilah kini tujuh bulan hamil anak kedua|IDZHAM bersama anaknya
- Diterbit 20 September 2020 10:00 PM MYT

JIKA tiada aral melintang, pelakon Idzham Ismail,32, akan keluar dari  Hospital Klang hari ini selepas ditahan di wad pada Jumaat lalu kerana demam Denggi. 

Idzham, isterinya Siti Nur Abilah dan anak mereka Nur Sofea Inara,3,  dikejarkan ke hospital selepas mengalami demam panas beberapa hari lalu.

Setelah diperiksa doktor, mereka sekeluarga dijangkiti demam Denggi.

“Alhamdulillah isteri dan anak semakin sihat dan dibenarkan pulang petang semalam. 

“Insya Allah, hari ini saya boleh keluar hospital jika keadaan darah saya sampai ke tahap yang normal. 

“Lagi pun sudah tiada batuk atau muntah dan badan saya semakin pulih. 

“Saya paling lewat keluar kerana keadaan paling teruk. Jumlah platelet saya sangat rendah iaitu bawah 30. Sepatutnya, jumlah platelet perlu dalam 150 ke atas,” katanya kepada Wilayahku.

ISTERI Idzham, Nor Abilah kini tujuh bulan hamil anak kedua

Idzham juga berharap apa yang berlaku kepadanya sekeluarga dijadikan pengajaran. 

“Denggi kita tak nampak. Kita tak tahu di mana ada pembiakan walaupun kawasan tersebut nampak bersih di mata kita. Ia belum tentu selamat.

“Kami sekeluarga pun tak tahu bagaimana nyamuk Aedes boleh hingga ke rumah kami. 

“Kepada masyarakat di luar sana, sentiasalah berjaga-jaga dan kerap bersihkan kawasan rumah.

“Kalau suspek, jangan lengah-lengah untuk membuat pemeriksaan di hospital. 

“Ingatlah… Demam Denggi tiada ubat, jadi kena banyak minum air. Sekurang-kurangnya minumlah sebanyak tiga atau empat liter air kosong,” jelasnya lagi yang berasa lega apabila kandungan isterinya yang kini berusia tujuh bulan berada dalam keadaan sihat.

IDZHAM bersama anaknya, Inara.

Antara drama bersiri lakonan Idzham Ismail adalah Bukan Gadis Biasa, Juvana, 7 Suami, Terukir Di Bintang dan Tanah Kubur, Fajar Aiman dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas