Berita

Pengalaman indah menaiki Cruise Tasik Putrajaya

|||||
- Diterbit 20 September 2020 10:00 AM MYT

SELEPAS 16 tahun tinggal di Putrajaya, saya mengakui, pengalaman pertama menaiki Cruise Tasik Putrajaya baru-baru ini sungguh mengujakan.

Limpahan cahaya bangunan kediaman rasmi Perdana Menteri Sri Perdana di Putrajaya nampak sungguh indah dari atas bot yang berlepas dari Jeti Cruise Tasik Putrajaya Presint 1 berhampiran Masjid Putra.

Dari sudut di tengah tasik itu, bangunan tersebut nampak sempurna.

Saya bersama wakil-wakil media serta social media influencer seramai 30 orang bertuah kerana dapat belayar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya, Datuk Zaharah Salamat dan sebahagian besar pengurusan kanan Marina Putrajaya.

Pengalaman pertama saya jadi lebih meriah kerana pelayaran itu dibuat khusus untuk pengenalan pakej baru iaitu Lepaq@Cruise Tasik Putrajaya.

Sambil bersantai menikmati keindahan Putrajaya dan makanan yang menyelerakan, kami dihiburkan dengan persembahan buskers yang memainkan lagu-lagu kegemaran ramai secara live.

Di samping itu, para penumpang juga boleh berkaraoke dan menyertai permainan mini yang sudah pasti menggamatkan suasana.

Menurut Datuk Zaharah Salamat, pakej istimewa ini diperkenalkan untuk menyokong industri pelancongan domestik dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan yang sangat terkesan dengan wabak COVID-19.

Cruise mula belayar pada pukul 9 malam dari jeti dan belayar menelurusi Tasik Putrajaya yang nyaman dan indah selama satu jam setengah.

“Setiap bulan kami akan memperkenalkan tema yang berbeza bagi memberi tarikan dan kelainan. Kami akan meningkatkan kekerapannya sekiranya pakej ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai. Harga yang ditawarkan adalah amat berbaloi iaitu hanya RM250 untuk dua orang dewasa manakala untuk kanak-kanak harganya adalah RM75 untuk seorang”, ujar Datuk Zaharah Salamat.

Pada malam itu, bersempena sambutan Hari Malaysia, tema yang dipilih adalah “Tradisi dan Sarong”.

Sebagai permulaan, pakej Lepaq@Cruise akan dianjurkan pada setiap hari Sabtu minggu ke-empat setiap bulan.

Pelanggan yang telah menempah bagi pembelian pakej ini juga layak mengambil bahagian bagi cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah berupa telefon pintar yang bernilai RM2,500.

Manakala bagi mereka yang hanya inginkan acara pelayaran santai ‘sight seeing’ sambil menikmati pemandangan pada waktu siang hari sahaja di sepanjang pelayaran, ada juga menawarkan pakej pilihan untuk dewasa cuma RM15 seorang dan RM10 untuk kanak-kanak.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi pakej Lepaq@Cruise ini boleh menghubungi Jabatan Jualan dan Pemasaran di talian 03-8881 0648 atau boleh juga email kepada sales@ cruisetasikputrajaya.com.

Pelanggan juga boleh layari ke laman Facebook Cruise Tasik Putrajaya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai pakej ini atau

 produk-produk yang lain.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas