Berita

DBKL terima anugerah MBOR

- Diterbit 28 Disember 2022 8:19 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima anugerah daripada The Malaysia Book of Record (MBOR) di atas usaha mengurangkan penggunaan karbon melalui penggunaan 60 buah bas elektrik GOKL Green Line di seluruh ibu kota.

Bercakap mengenai perkara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata Kuala Lumpur sangat terkesan dengan impak perubahan iklim dalam bentuk taburan intensiti hujan yang luar biasa, peningkatan suhu dan freak storms yang merupakan isu global di mana semua negara di seluruh dunia sedang berusaha mengatasinya.

“Bagi memastikan kita berjaya mencapai matlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lestari dan berdaya tahan, DBKL telah mengambil beberapa langkah perlu (essential steps) dengan menyediakan beberapa Pelan Tindakan yang mensasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus pada tahun 2030 dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya neutral karbon menjelang tahun 2050.

“Oleh kerana sektor pengangkutan merupakan salah satu penyumbang utama kepada peratusan pelepasan karbon di Kuala Lumpur, usaha bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sangat penting dan perlu dititikberatkan dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma GOKL Green Line yang kini telah ditransformasikan kepada penggunaan ‘Battery Electric Vehicle’ atau BEV, sudah tentu pengeluaran karbon di bandar raya dapat dikurangkan berbanding penggunaan bas yang menggunakan bahan api diesel,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Dua Laluan Baharu Bas GOKL Green Line di Taman Metropolitan Kepong pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Mahadi berkata bagi meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam seperti yang disasarkan di dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 iaitu dengan nisbah pisah ragam 70:30, DBKL akan terus memperluaskan perkhidmatan percuma bas GOKL Green Line.

Sementara itu, DBKL telah menambah dua lagi laluan baharu iaitu Krim dan laluan Magenta menjadikan jumlah keseluruhan 12 laluan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas