Berita

DBKL rangka strategi baharu atasi banjir kilat

KAEDAH sambungan paip (pipe jacking) akan digunapakai di dalam sistem pengairan Kuala Lumpur. - Gambar Khidmat Hijau
- Diterbit 28 November 2020 4:26 AM MYT

JUMLAH taburan hujan yang luar biasa pada masa ini di samping pembangunan pesat sehingga mengganggu sistem perparitan, antara punca berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang keadaan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa peka dengan keadaan semasa dan telah melaksanakan banyak tindakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelas beliau, antara tindakan yang diambil adalah menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Segambut Bahagia yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta.

“Selain itu, Kolam Takungan Banjir (OSD) turut dibina di Taman Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn Bhd (SPPK) Segambut (RM4.8 juta) dan Segambut Bahagia (RM9 juta) serta pengorekan pasir secara berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Segambut semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada 25 November lalu.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, bagi tahun 2021, DBKL telah merancang pelaksanaan projek bagi mempertingkatkan sistem perparitan utama dan kerja-kerja ‘pipe jacking’ di kawasan tadahan Sungai Toba.

Antara lain, jelas beliau, bandaraya turut merangka cadangan tebatan banjir jangka pendek dan panjang bagi Sungai Toba serta lokasi-lokasi lain di Kuala Lumpur.

Ujarnya, menerusi pelaksanaan itu, Kuala Lumpur bersedia menghadapi masalah banjir kilat di masa hadapan.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan, pihak DBKL juga sering mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk rangka perancangan mitigasi banjir kilat di kawasan Sungai Keroh yang di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas