Berita

TOMOK, HAZAMA, BLACK, AKIM Bergabung Dalam ‘Suara Licik’

Tomok
- Diterbit 27 November 2020 11:03 PM MYT

IMPIAN peminat mahu melihat empat penyanyi muda Tomok, Akim, Hazama dan Black bergabung akhirnya menjadi satu kenyataan.

Sempat penyanyi yang mempunyai karakter suara yang berbeza ini sudah muncul dengan lagu berjudul Suara Licik ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali. 

Pada asalnya mereka dijadualkan mempersembahkan lagu ini dalam konsert 4G’s  yang menggabungkan mereka. Namun konsert ini ditunda kerana pandemik COVID-19.

Konsert yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Istana Budaya ini dijangka akan berlangsung bulan depan pada 11 dan 12 Disember.

Bagi Tomok, kali pertama bekerjasama dengan tiga rakan penyanyi lain ini sesuatu yang menarik dan istimewa. 

“Sebenarnya, bergandingan dengan semua sahabat saya ini satu perkara yang sangat menarik. Benda susah jadi menarik sebab kami tolong-menolong antara satu sama lain. 

“Jadi, hasilnya menarik sebab semua kawan-kawan dalam ini. Sepatutnya, lagu kami dipersembahkan pada konsert tempoh hari, namun ia tak mematahkan semangat kami untuk teruskan konsert itu. 

“Pada malam konsert itu nanti, kami akan persembahkan kepada semua. Saya sangat ‘looking forward’ pada lagu ini supaya ia diterima dan dekat di hati peminat. Saya harap lagu ini dapat sokongan semua,” katanya.

AKIM, Tomok, Black dan Hazama bergabung dalam lagu Suara Licik

Manakala Hazama pula menyifatkan kerjasama dengan Akim, Tomok dan Black saling memberi tunjuk ajar.

“Mereka tidak kedekut memberi ilmu serta memberikan komitmen yang sangat tinggi sewaktu merakamkan lagu ini. Kami juga bukan sahaja sahabat dalam indusri malah sangat rapat di luar pentas,” katanya yang teruja dengan pelancaran lagu Suara Licik ini.

Sementara itu, Akim yang juga merupakan vokalis kumpulan Akim & The Majistret berkata, lagu itu sangat unik.

“Rakaman lagu ini sangat unik. Melodi dan lirik lagu ini sangat bagus. Saya amat gembira dapat menyanyi dan merakam lagu ini bersama tiga rakan lain. 

“Kebetulan ketika itu kami nak adakan konsert, jadi perlukan satu lagu baru yang dinyanyikan bersama. Jadi karya ini sangat menarik untuk kami persembahkan kepada peminat.

“Diakui, merakamkan sebuah lagu bersama Hazama, Black dan Tomok memberi pengalaman luar biasa. Sebab masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri. Mereka semua penyanyi yang bagus. 

“Sejujurnya, saya teruja bekerjasama dengan mereka dalam projek ini,” ujar Akim yang tidak stres sepanjang merakamkan lagu ini kerana kerjasama baik daripada ketiga-tiga sahabatnya. 

MEREKA bakal menjayakan konsert 4G’s pada 11 dan 12 Disember ini.

Lagu Suara Licik juga sangat istimewa buat Black kerana impian mahu berkolaborasi dengan sahabat-sahabatnya menjadi kenyataan. 

“Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang sama-sama suatu ketika dahulu membina nama dalam industri. 

“Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan yang mereka juga berasa tidak sabar untuk lagu ini diputarkan. Malah, tidak sabar nak dipersembahkan secara langsung pada konsert,” ujar Black yang berharap konsert 4G’s dapat diteruskan.

Jika tiada halangan, Konsert 4G’s bakal diadakan pada tarikh baharu iaitu 11 dan 12 Disember ini.

Lagu ini sudah dilancarkan di semua platform digital muzik dan boleh mula distrim mulai semalam, 27 November 2020. 

Sementara itu, video lirik lagu Suara Licik telah dilancarkan secara rasmi  di saluran YouTube Nova Music Videos https://youtu.be/xer589_tVYA

Hargailah karya penggiat seni muzik dengan membeli lagu ini secara sah di mana-mana platform digital. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas