Berita

Dek Mat berdikari untuk berjaya

ANNUAR (tengah) dan Mahadi (kiri) menjamu selera di gerai Nasi Lemak Dek Mat sambil beramah mesra dengan Mohd Nor (kanan).
- Diterbit 28 November 2020 5:00 AM MYT

WALAUPUN bergelar orang kurang upaya (OKU), kekurangan itu tidak menjadi penghalang kepada seorang lelaki bagi membangun dan mengusahakan gerai nasi lemak sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Biarpun diuji tanpa kedua belah tangan, pemilik Gerai Nasi Lemak Bujang, Mohd Nor Abdullah, 28 atau lebih mesra dikenali sebagai Dek Mat cekal menguruskan kehidupannya sendiri tanpa bantuan daripada ahli keluarganya.

Memulakan rutin hariannya seawal pukul 6.45 pagi, beliau akan mula mengangkat
meja menggunakan dagunya serta menyeret kerusi dengan kakinya secara berhati-hati dan menuruni setiap anak tangga dari tingkat satu untuk menjaja nasi lemak yang dibekalkan ibu rakannya untuk dijual sambil dibantu abangnya.

“Saya mula menjual nasi lemak sejak empat bulan lalu kerana mahu berdikari dan tidak mahu susahkan keluarga walaupun mereka tinggal berdekatan.

“Nasi lemak ini dihantar awal pagi setiap hari. Kebiasaanya saya dapat menjual kira-kira 100 bungkus dengan harga RM1.50 sebungkus,” katanya kepada Wilayahku selepas penyampaian Gerai Mary di Cheras baru-baru ini.

Penyampaian gerai tersebut disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri
TPr Annuar Musa. Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun.

Mohd Nor memberitahu, beliau tidak menyangka kisahnya menjaja tular di laman
media sosial telah menambah rezekinya.

“Saya tidak sangka Menteri Wilayah Persekutuan datang untuk menyerahkan bantuan dan makan di gerai ini malah beliau menghulurkan bantuan gerai kepada saya.

“Ini dapat memudahkan lagi perniagaan saya pada masa hadapan dan akan berusaha keras seperti nasihat Tan Sri Annuar Musa yang mahu saya berjaya dalam hidup,” katanya.

Tambahnya, melalui bantuan yang diberikan itu, ia akan menambah keazaman untuk lebih berjaya dalam perniagaan bagi membolehkan beliau membantu orang lain yang memerlukan.

Sementara itu, Annuar menzahirkan rasa kagum terhadap Mohd Nor yang sanggup
berusaha untuk memajukan dirinya sendiri.

“Beliau merupakan seorang OKU yang luar biasa dan serba kekurangan. Namun,
menunjukkan usaha gigih mahu berniaga.

“Kalau tidak ada keberanian yang kuat, beliau tidak akan berniaga dan oleh kerana
itu, kita perlu membantu beliau agar dapat berniaga dalam keadaan selesa dan memberikan sokongan moral kepadanya,” katanya.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, pemberian Gerai Mary ini merupakan program berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan sebagai galakan kepada mereka untuk berniaga.

“Program ini baru sahaja bermula dan untuk membina gerai ini, YWP mampu membinanya kira-kira 50 unit sebulan.

“Dimana sahaja kita jumpa, yang munasabah kita akan bantu. Kalau kita jumpa sesiapa yang layak dibantu, maka YWP akan bantu dan mudahkan.

“Kita juga akan melihat keperluan-keperluan yang lain dan sekiranya bersesuaian, bantuan akan diberikan dengan syarat mereka mempunyai keazaman yang kuat untuk berjaya dan berdikari,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas