Berita

DBKL perkenal mesin ‘tukar sampah jadi duit’ 

MAHADI mencuba Recycle Reverse Vending Machine (RRVM) di hentian bas berhadapan Menara 2 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
- Diterbit 19 Jun 2022 4:36 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan mesin kitar semula yang dikenali ‘Recycling Reverse Vending Machine‘ (RRVM) yang boleh menukar kepada ganjaran wang tunai kepada pengguna.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, penggunaan RRVM merupakan usaha berterusan DBKL menjadikan ibu kota bebas sampah, bersih dan indah.

“Ini satu usaha DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bandar bersih dan bebas daripada sampah.

“Mesin ini khas untuk sampah kecil yang boleh dikitar semula terutama selepas kita mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai zon bebas sampah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau pelaksanaan RRVM yang diletakkan di hentian bas berdepan Menara DBKL 2, di sini, hari ini.

Mahadi berkata, mesin itu akan mengira sendiri nilai sampah yang dimasukkan dan wang tunai akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank pengguna.

“Saya dapat lihat tadi, satu botol plastik air dinilai lima sen, kita masuk tiga sampah dan jumlahnya 15 sen.

“Ganjaran duit ini akan terus masuk ke dalam akaun bank kita, langkah ini bagus bagi mengelak berlakunya kejadian penyeluk saku dan vandalisma serta usaha yang selamat untuk mesin ini tidak diganggu,” katanya.

Kata Mahadi, RRVM akan diletakkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti laluan utama menaiki pengangkutan awam, Dataran Merdeka dan Pintasan Saloma dan tempoh percubaan selama tiga bulan.

“Kita mempunyai data di lokasi yang sesuai diletakkan mesin ini terutama kawasan tumpuan yang kerap membuang botol plastik dan sampah kecil lain.

“Ini antara usaha menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bersih dan bebas sampah sekali gus membawa pelabur dan pelancong masuk ke Malaysia, inilah antara perkara penting bagi menjamin bandar raya menjadi mampan,” katanya.

Mahadi turut optimis dengan kewujudan mesin RRVM dapat membantu orang ramai terutama gelandangan menjana pendapatan sampingan.

“Kalau tiada kerja lain boleh juga membantu DBKL membersihkan bandar raya ini, kalau ini menjadi punca pendapatan bagi mereka.

“Mesin ini mampu memuatkan sampah kitar semula dengan kapasiti 220 liter dan ada pengesan selepas tong penuh, akan ditukar kepada yang baru,” katanya

RRVM akan memberi ganjaran wang tunai kepada pengguna yang memasukkan barangan kitar semula seperti botol plastik, tin aluminium dan kotak minuman. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas