Berita

DBKL lanjut tempoh kemuka pandangan Draf PTKL 2040 hingga 15 April

- Diterbit 29 Mac 2024 6:10 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh dua minggu lagi hingga 15 April ini untuk orang awam mengemukakan pandangan bagi Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh berkata sehubungan itu pameran Draf PTKL 2040 di Menara DBKL 1 dilanjutkan bermula 2 April ini berikutan permintaan serta persetujuan secara konsensus Ahli Parlimen dan wakilnya semasa Sesi Pengemukaan Pandangan Bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Draf PTKL2040 itu telah dipamerkan untuk mendapat pandangan awam sejak 31 Jan hingga 1 Mac 2024 sebelum dilanjutkan hingga 1 April  ini.

“Namun, setelah mengambil kira pandangan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, orang awam dan pihak berkepentingan tempoh mengemukakan pandangan itu dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 2 April hingga 15 April 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarulzaman berkata sepanjang tempoh lanjutan, sesi taklimat Draf PTKL2040 secara bersasar turut dilakukan berdasarkan permintaan terutamanya melibatkan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang lebih memfokus kepada isu lokaliti kawasan parlimen berkaitan.

Menurutnya orang awam boleh mengemukakan pandangan, cadangan dan idea melalui portal rasmi Pelan Pembangunan Kuala Lumpur https://ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan/.

Draf PTKL2040 dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha  Mustafa pada 30 Jan lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas