Berita

DBKL, JPS kaji bina Smart Tunnel kedua

SMART Tunnel kedua yang dicadangkan akan dibina lebih panjang berbanding Smart Tunnel yang beroperasi pada hari ini.
- Diterbit 10 Jun 2022 6:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung cadangan membina Terowong Pintar (Smart Tunnel) kedua sebagai alternatif untuk mengatasi banjir kilat yang sering berlaku di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata sebuah kajian terperinci mengenai perkara itu masih dilakukan dan berharap dapat melantik perunding setelah perbincangan dengan JPS selesai.

“Kita sangat rapat dengan JPS, maka cadangan itu sudah tentu memberi pilihan bagi DBKL untuk mencari format serta idea terbaik dalam mengatasi banjir. Kedua-dua agensi ada timbal balas dari segi mengendali banjir. Kita tak boleh buat perseorangan, kena kerjasama. Namun, kajian yang dilakukan merupakan inisiatif kita sendiri sebab nak segera dapatkan penyelesaian.

“Perkara ini kena bincang secara dalaman dengan JPS kerana perlu ada skop kerja yang betul untuk diserahkan kepada perunding. Sudah tentu JPS mempunyai idea kerana bidang keutamaan mereka uruskan banjir dan sungai. Walaupun konsultan belum dilantik namun perkara itu diberi keutamaan oleh DBKL,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Mahadi memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan faedah kos cadangan itu kerana ia dijangka membabitkan perbelanjaan yang amat tinggi memandangkan terowong kedua yang dicadangkan itu lebih panjang berbanding Terowong SMART di ibu negara.

Menurutnya, DBKL sedang melaksanakan kajian terperinci bagi mengkaji kebolehsanaan (feasibility study) untuk meneliti lokasi dan spesifikasi terowong simpanan air hujan bawah tanah serta menerusi kolam takungan yang akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Perunding akan dilantik sejurus selepas perbincangan bersama JPS selesai dan cadangan terbabit merupakan pelan jangka panjang mengatasi isu banjir kilat di ibu negara sebagai persiapan bagi menghadapi cuaca ekstrem yang dihadapi ketika ini.

“Kita sudah ada inisiatif Smart Tunnel namun ia lebih kepada simpanan air dibawa ke tasik besar di Taman Desa dan pada masa sama, ruang simpanan air ini berkongsi dengan trafik dan kenderaan pengguna jalan raya. Sekarang ini, kita nak cari satu tempat sebab negara terima taburan hujan lebih banyak kerana cuaca ekstrem dan 10 tahun lagi dikatakan akan lebih teruk. Oleh itu, kena ada penyelesaian muktamad.

“Selepas melantik perunding, kita akan beri masa pada mereka untuk lakukan kerja selama tiga bulan kerana kita tahu (walaupun) tak mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh tersebut, kita cuba terlebih dahulu. Kalau tidak berjaya, kita akan tanya kepadanya berapa lama masa diperlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi juga menyambut baik hasrat kerajaan untuk menggunakan kaedah yang dipraktikkan di Jepun bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

“Dalam konteks tersebut, kita telah membuat beberapa kajian dan ada beberapa perkara yang wajar ditambah baik dari segi tindakan tembatan banjir, contoh menambah fasa simpanan air dan kalau ketiadaan ruang, ada keperluan bina tasik atau kolam,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas