Berita

PKRC Labuan ditutup secara rasmi

ISMUNI (dua dari kiri) menyerahkan replika cenderahati kepada wakil Perbadanan Labuan pada Majlis Penyerahan Semula Dewan Serbaguna PL, baru-baru ini.
- Diterbit 10 Jun 2022 5:30 AM MYT

PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan ditutup secara rasmi pada 1 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata penutupan itu sepatutnya dilaksanakan pada hujung Mei lalu namun ditangguhkan bagi langkah siap siaga bagi sebarang peningkatan kes pada fasa peralihan endemik serta hari perayaan lalu.

“Kita di Labuan semakin membaik dan kes yang dicatatkan lima kes ke bawah pada setiap hari.

“Pusat ini beroperasi dengan lancar walaupun melebihi kapasiti hampir 2,000 pesakit sejak ia mula beroperasi pada 29 Oktober 2020.

“Oleh itu, kita telah membuat keputusan pada bulan Mei lalu untuk membersihkan dewan ini untuk diserahkan semula kepada pihak Perbadanan Labuan (PL),” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Semula Dewan Serbaguna PL di sini, baru-baru ini.

Ismuni berkata PKRC di dewan itu turut dijadikan sebagai hospital medan COVID-19 pada 27 Jun tahun lalu.

“Penubuhan hospital lapangan adalah selepas Labuan mengalami lonjakan mendadak kes positif COVID-19 dan serangan varian Delta dengan kematian dilaporkan setiap hari.

“Dengan kakitangan penjagaan kesihatan yang berdedikasi, petugas barisan hadapan dan kadar vaksinasi tinggi, Labuan berjaya dalam pertempuran melawan COVID-19 dan sejak itu bilangan pesakit menjalani kuarantin di pusat itu berkurangan secara beransur-ansur,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismuni berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Klinik Kesihatan Membedai masih beroperasi bagi menangani isu berkaitan COVID-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas