Berita

PPj terima kunjungan konvoi dari Pantai Timur

TENGKU Mohd Arifin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fadlun baru-baru ini.
- Diterbit 10 Jun 2022 6:30 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) menerima kunjungan konvoi 33 buah motosikal berkuasa tinggi dari Terengganu baru-baru ini. Pemilihan PPj sebagai destinasi singgah oleh pasukan konvoi tersebut memandangkan ia berkait rapat dengan Program Kenali Taman Negeri Terengganu South Chapter 2022 yang dianjurkan.

Menurut Pengurus Program Kenali Taman Negeri Terengganu South Chapter 2022, Shahriz Ahmad Laili, program yang berkonsepkan aktiviti konvoi bermotosikal ini merupakan platform untuk memberi hebahan dan maklumat berkaitan produk Taman-Taman Negeri Terengganu.

“Semasa tiba di Putrajaya, kami beramah mesra dan bertukar-tukar idea bersama Naib Presiden Kanan PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkaitan pengurusan taman memandangkan PPj mempunyai Taman Wetland di Presint 13,” ujarnya.

Malah, dia turut berharap dapat berkolaborasi bersama PPj dari sudut pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi pada masa akan datang.

“Kami juga berharap dapat berkolaborasi pada masa akan datang bersama pihak PPj dengan melihat kepada prospek yang bersesuaian sepertimana yang kita semua sedia maklum PPj merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang dari segi pengurusan taman dan sebagainya.

“Banyak yang boleh kami pelajari daripada PPj dari segi pengurusan. Mungkin untuk masa yang akan datang kami perlu meluangkan lebih banyak masa lagi untuk berada di sini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Selain Putrajaya, konvoi yang diketuai oleh Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Tengku Mohd Arifin Tengku Datuk A. Rahman turut menjelajah ke beberapa buah negeri iaitu Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Di setiap hentian, peserta konvoi berserta pasukan promosi akan melakukan aktiviti hebahan berkaitan Taman Negeri Setiu Wetland dan Taman Negeri Kenyir untuk dijadikan pilihan sebagai destinasi eko pelancongan di Terengganu.

“Kami juga turut memberikan kesedaran awam kepada umum tentang pentingnya alam semula jadi dan tanggungjawab untuk melindunginya perlu dipikul bersama,” katanya yang mana program tersebut adalah susulan daripada penganjuran tahun 2021, Kenali Taman Negeri Terengganu ‘One Round Terengganu’.

Terdahulu, konvoi sejauh 1,517 kilometer dari Terengganu itu menghimpunkan motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GSA, BMW RT, X-ADV, Benelli, Yamaha R1, Kawasaki ZX-14 dan Kymco Xciting-400. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas