Berita

DBKL buat persiapan buka Bazar Ramadan

- Diterbit 10 Mac 2021 10:27 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persiapan untuk membuka semula bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk menjana pendapatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ia akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKKNWP) untuk proses selanjutnya.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah termasuk cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk diangkat ke peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita perlukan keputusan mukatamad MKN kerana masih dalam perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KWP hari ini.

Menurut Annuar, secara umumnya MKN mula memberikan kebenaran dan melonggarkan sedikit SOP bagi membolehkan aktiviti ekonomi berjalan.

“Atas dasar itu kita menjangkakan kalau semuanya dalam keadaan baik, maka kita boleh mengadakan bazar ria Ramadan dan Aidilfitri dengan SOP yang tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata pihaknya memerlukan satu atau dua hari untuk membuat ketetapan untuk mengekalkan atau memindahkan semula lokasi bazar Ramadan di Jalan Raja.

“Ada dua pandangan, tempat lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah menjadi lebih baik dan cantik kerana dinaiktaraf dan kita baru buat penanaman pokok disitu.

“Jikalau bazar dipindah di lokasi tersebut, ia akan merosakkan pokok tersebut dan kini ia masih dalam kajian.

“Tetapi secara dasarnya kita setuju hendak beri ruang berniaga yang lebih baik supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih baik.

“Sebab kadang-kadang tempat elok belum tentu maju berniaga, tetapi tempat yang mungkin kurang elok sikit, tapi lebih maju,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas