Berita

Malaysia hilang lebih 80 peratus pelancong

- Diterbit 10 Mac 2021 8:25 AM MYT

TAHUN Melawat Malaysia 2020 berakhir dengan kejadian tidak disangka-sangka iaitu pandemik COVID-19.

Negara mencatatkan penurunan sebanyak 83.4 peratus kepada hanya 4.3 juta orang pelancong tahun lalu berbanding 26.1 juta yang direkodkan pada 2019.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memberitahu, penyusutan besar ketibaan pelancong antarabangsa itu adalah disebabkan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac 2020 ekoran penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, hasil pendapatan daripada kehadiran pelancong turut merudum sebanyak 85.3 peratus kepada hanya RM12.69 bilion tahun lalu berbanding RM86.14 bilion pada tahun 2019.

Pada masa sama, purata perbelanjaan per capita juga menurun 11.3 peratus iaitu RM2,928 daripada RM3,300 tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan negatif jumlah pelancong dicatatkan daripada setiap pasaran dengan pasaran jarak dekat jatuh 83.5 peratus, jarak sederhana menguncup 84.7 peratus manakala pasaran jarak jauh menurun 79.7 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pelancongan rentas negeri PKPP dibenarkan, Langkawi ditukar kepada PKPP

Walau bagaimanapun, Tourism Malaysia berkata, Malaysia bukan satu-satunya negara yang menyaksikan pertumbuhan negatif dari segi ketibaan pelancong dengan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) merekodkan Asia dan Pasifik secara keseluruhan merekodkan kejatuhan 84 peratus kehadiran pelancong.

Katanya, negara jiran di ASEAN juga mencatatkan penurunan ketara dengan Thailand menguncup 83.2 peratus, Singapura (85.7 peratus), Vietnam (78.7 peratus) dan Indonesia (75 peratus).

Negara-negara di ASEAN atau pasaran jarak dekat, kata Tourism Malaysia kekal menjadi penyumbang terbesar kehadiran pelancong ke Malaysia iaitu sebanyak 68.1 peratus daripada keseluruhan pelancong.

“Ia diikuti pasaran jarak sederhana merangkumi 20.1 peratus iaitu bagi negara-negara di Asia Timur dan Asia Selatan manakala pasaran jarak jauh iaitu dari Asia Barat, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika merangkumi 11.8 peratus.

“Senarai 10 negara kehadiran pelancong tertinggi ke Malaysia adalah dari Singapura (1.5 juta), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam (64,184).

“Dari segi perbelanjaan keseluruhan, pelancong dari Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand merekodkan perbelanjaan tertinggi,” jelasnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas