Berita

DBKL beri Insentif MY30 kepada kakitangan

- Diterbit 20 September 2021 2:54 PM MYT

SEBAGAI menghargai sumbangan serta memahami keperluan kakitangan yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyampaikan Insentif MY30 dalam satu sesi secara hybrid dalam talian yang disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini.

Dalam hantarannya di laman Facebook, DBKL berkata, insentif tersebut sebagai galakan kepada warga kerja DBKL untuk menggunakan pengangkutan awam dan menyokong usaha ke arah karbon neutral di Kuala Lumpur.

Insentif MY30 merupakan kad perjalanan yang menawarkan perjalanan tanpa had bernilai RM30 untuk tempoh 30 hari bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad.

Ia turut merangkumi perkhidmatan Bas Rapid KL, Bas Perantara Sistem Aliran Massa (MRT), Bus Rapid Transit (BRT), Sistem Aliran Ringan (LRT), Sistem Aliran Massa (MRT) dan Monorail.

Dalam majlis yang sama, Shahidan turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Cemerlang 2018 kepada warga DBKL yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam tugasan rasmi dan aktif menyumbang dalam aktiviti luar tugasan rasmi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas