KWP peruntukkan RM15 juta, laksana projek baik pulih, naik taraf infrastruktur awam
SHAHIDAN ketika melawat projek naik taraf yang dilakukan oleh KWP di Pangsapuri Melur dan PA Seri Terengganu, Sentul.

KWP peruntukkan RM15 juta, laksana projek baik pulih, naik taraf infrastruktur awam

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) telah memperuntukkan kira-kira RM15 juta bagi perlaksanaan projek-projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur awam di bawah Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) 2.0 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, keseluruhan projek baik pulih dan naik taraf adalah sebanyak 26 projek yang majoriti pelaksanaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kebanyakkan permohonan diterima daripada komuniti melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

“Permohanan bagi projek-projek kecil ini adalah berdasarkan kepada keperluan kritikal yang memerlukan baikpulih serta merta bagi mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

“Projek-projek ini juga telah mencapai 25 peratus kemajuan kerja yang telah bermula pada Julai 2021 dan akan berjaya diselesaikan pada November 2021,” katanya dalam sidang media selepas melawat ke Surau Quba di Pangsapuri Melur dan Perumahan Awam Seri Terengganu, Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Pengerusi MPPWP Parlimen Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Shahidan berkata DBKL turut menawarkan kerja-kerja ini kepada kontraktor G1 terpilih yang berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi merangsangkan semula ekonomi semasa tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini termasuk projek-projek mengecat semula bangunan, membaiki/mengganti kerosakan infrastruktur asas dan kemudahan awam.

“Kesemua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan November 2021,” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, kerajaan akan sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia disamping merangsang kembali ekonomi di Wilayah Persekutuan dalam menjadikan matlamat “My City My Home” dicapai. –WILAYAHKU.

CATEGORIES
TAGS