Berita

DBKL akan bina khemah besar untuk peniaga menjelang Ramadan

- Diterbit 24 Mac 2021 3:34 PM MYT

SUSULAN kebakaran yang melibatkan deretan kedai di Pasar Datuk Keramat 17 Mac lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina semula bangunan baharu di tapak niaga bagi kemudahan peniaga di kawasan itu

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, projek tersebut akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri disebabkan tapak yang sama akan digunakan untuk operasi bazar Ramadan.

“Cadangan kita adalah untuk merobohkan segera struktur bangunan terbakar supaya boleh dilakukan kerja serta-merta untuk menyiapkan tapak baharu.

“Bangunan tersebut adalah separa kekal yang akan digunakan dalam tempoh enam tahun dan akan digunakan sementara menunggu projek pembangunan semula Pasar Datuk Keramat dilaksanakan seperti perjanjian yang ditandatangan dengan sebuah syarikat swasta pada 2017,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sesi perjumpaan bersama penjaja Pasar Datuk Keramat di Dewan Kompleks Sukan Datuk Keramat pada Rabu.

Katanya, selepas proses perobohan bangunan selesai dilaksanakan, sebuah khemah besar akan dipasang bagi memberi kemudahan kepada peniaga dan ia boleh memuatkan kira-kira 45 peniaga.

“Keluasan untuk setiap tapak adalah kira-kira 100 kaki persegi dan khemah tersebut kemudian akan dibersihkan selepas Ramadan bagi memberi laluan kepada projek bangunan pasar dimulakan.

“Kita minta projek disiapkan tak lebih empat bulan, pemaju boleh buat persediaan daripada sekarang. Lepas habis Ramadan, mereka boleh terus mulakan kerja.

“Dalam tempoh pembinaan, jika ada peniaga jumpa tempat berniaga di lokasi lain, kita akan pertimbangkan serta bantu mempermudahkan urusan,” katanya.

Dalam kejadian 17 Mac lalu, hampir 50 peniaga terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan deretan kedai di Pasar Datuk Keramat.– AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas