Berita

Dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan langgar SOP PKP tidak benar

- Diterbit 13 Januari 2021 11:10 PM MYT

DUA artikel mengenai dakwaan bahawa Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tidak benar.

Menerusi kenyataan hari ini, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I memaklumkan, dua portal telah memuat naik artikel yang mendakwa Dr Noor Azmi menerima kunjungan hormat daripada sekumpulan individu di pejabat beliau, hari ini.

“Tulisan dan dakwaan yang dibuat kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Gambar kunjungan itu adalah pada 12 Jan, iaitu sehari sebelum pelaksanaan PKP.

“Oleh itu, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I memohon agar portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, dakwaan seumpama itu memberikan persepsi buruk terhadap Dr Noor Azmi dan Kementerian Kesihatan.

Hari ini, sebuah portal memuat naik artikel bertajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan langgar PKP lagi?’ manakala sebuah lagi portal dengan tajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP’. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas