Berita

Gerak kerja banci secara bersemuka disusun semula

- Diterbit 13 Januari 2021 11:06 PM MYT

GERAK kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka akan disusun semula berdasarkan tiga kategori pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 DOSM memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara akan digunakan dalam pembancian fasa kedua.

Selain itu menurut pejabat tersebut, pembancian bersemuka pula dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tidak dibenarkan di kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagi kawasan yang tidak dibenarkan itu, maklumat banci akan dikumpul secara dalam talian melalui platform e-Census (Banci Dalam Talian) dan kaedah panggilan telefon mengikut kesesuaian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semua pihak memainkan peranan penting dalam bersama melandaikan lengkukan kes COVID-19, sekali gus DOSM telah membuka semula platform e-Census.

“Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.

“Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru mengisi maklumat banci secara dalam talian dan bagi mereka yang memerlukan ID untuk mengisi e-Census, boleh berhubung dengan Helpdesk melalui [email protected] atau merujuk kepada DOSM Negeri berdekatan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan disahkan negatif COVID-19 hari ini, menerusi ujian saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan kelmarin.

Mohd Uzir akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga 15 Jan dan situasi itu tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran DOSM, menurut kenyataan tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas